FAM teliti penggunaan VAR

Noor Azman - Foto FB FAM
Noor Azman - Foto FB FAM
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) memberi bayangan mengenai kesediaan untuk menggunakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) pada masa depan.

Ia selepas ketiadaan kelibat pengadil Malaysia yang terpilih bertugas di Piala Dunia Qatar bulan depan gara-gara tidak memiliki lesen VAR.

Setiausaha Agungnya, Noor Azman Rahman memberitahu, pihaknya sudah mendapat input berhubung penggunaan teknologi tersebut sebelum mempertimbangkan penggunaannya dalam saingan domestik.

Bagaimanapun, beliau mengakui pelbagai perkara perlu dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum penggunaan teknologi diimplementasikan dalam arena bola sepak negara.

“Di peringkat Jawatankuasa Pengadil ada taklimat daripada penyedia iaitu Hawk-Eye Innovations dan Mediapro yang membuat pembentangan kepada kita.

“Cuma perkara itu di peringkat untuk kita memuktamadkan membabitkan kosnya dan sebagainya. Kita juga sedang melihat sama ada untuk membelinya atau menyewa teknologi terbabit.

“Kita memang mahu (gunakan VAR) tetapi kita perlu ambil kira penggunaannya dan kesesuaiannya. Kita ambil input dahulu dan lihat keperluannya di sini," katanya yang menyerahkan perkara itu kepada Jawatankuasa Pengadil untuk membuat penilaian.

Beliau ditemui media selepas majlis pengumuman kerjasama FAM bersama HP Malaysia di Petaling Jaya pada Rabu.

FAM menjalinkan kerjasama dengan HP bagi membantu meningkatkan kualiti e-sukan bola sepak negara.

Artikel Berkaitan:

Mengulas isu pengadil tempatan terlepas peluang ke Piala Dunia kerana tiada lesen VAR, Noor Azman memaklumkan perkara tersebut akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pengadil.

“Kita akan rujuk kepada Jawatankuasa Pengadil dan dapatkan laporan (mengenai isu itu),” katanya.

Bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh yang juga Tenaga Pengajar Teknikal FIFA mendedahkan Malaysia terlepas peluang mencalonkan salah seorang pengadil lelaki terbaiknya untuk bertugas di Piala Dunia 2022 kerana tidak memiliki lesen VAR.