Dua lelaki nyaris diserang beruang

Badrul Hisham (dua dari kanan) dan Abdul Halim menceritakan pengalaman mereka terperangkap di Bukit Wang Perah kepada anggota bomba pada Khamis.
Badrul Hisham (dua dari kanan) dan Abdul Halim menceritakan pengalaman mereka terperangkap di Bukit Wang Perah kepada anggota bomba pada Khamis.
A
A
A

KUBANG PASU - Dua lelaki yang terperangkap di Bukit Wang Perah dekat sini akibat kejadian kepala air nyaris diserang dua ekor beruang pada malam Rabu.

Badrul Hisham Badri, 50, berkata, dia bersama rakannya, Abdul Halim Ibrahim, 35, ke kawasan bukit itu untuk menjala ikan, namun berlaku kepala air sehingga menghalang laluan mereka untuk keluar menyelamatkan diri.

Menurutnya, mereka kemudian mengambil keputusan membuat tempat berteduh di bukit itu dengan menggunakan ranting kayu, daun dan jala yang dibawa sementara menunggu hujan berhenti sekitar jam 9 malam.

"Semasa kami membakar ikan kelihatan dua ekor beruang agak besar hampir setinggi saya berlegar-legar tempat kami berlindung.

"Alhamdulillah, kami tidak diganggu walaupun beruang itu berpusing-pusing di kawasan kami berteduh dari jam 9 malam hingga 1 pagi," katanya semasa ditemui pemberita di Pusat Operasi Bomba di Bukit Wang Perah dekat sini pada Khamis.

Badrul Hisham berkata, mereka menemui tapak kaki haiwan itu semasa turun ke kaki bukit pada jam 6 pagi menghala ke arah sungai dan dipercayai mencari ikan-ikan yang mati.

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, dia sempat menghantar pesanan WhatsApp kepada keluarganya untuk mendapatkan bantuan semasa naik ke puncak bukit.

"Masa kami sampai ke puncak bukit hari sudah gelap, mujurlah ada isyarat telefon dan saya sempat maklumkan keadaan kami kepada keluarga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra menerima aduan dua lelaki hilang pada jam 2.50 pagi.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan dengan menggerakkan sepasukan anggota BBP Jitra dan pasukan Pasukan Multi Skill (MUST) untuk ke lokasi kejadian.

"Malam tadi, hujan terlalu lebat dan kawasan itu berisiko kepada anggota. Anggota MUST Team dan anggota Balai Bukit Kayu Hitam dipecah kepada dua pasukan.

"Alhamdulillah pada jam 8.20 pagi, anggota berjaya menjumpai mangsa dalam keadaan selamat," katanya.