Masih ada syarikat korporat tidak keluarkan zakat

Shaikh Harun (kiri) menerima penyerahan zakat perniagaan yang disampaikan Pengurus Besar Duyong Marina & Resort, Wan Faizul Wan Abbas (kanan) di Pejabat Maidam, di Kuala Terengganu, pada Khamis.
Shaikh Harun (kiri) menerima penyerahan zakat perniagaan yang disampaikan Pengurus Besar Duyong Marina & Resort, Wan Faizul Wan Abbas (kanan) di Pejabat Maidam, di Kuala Terengganu, pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengenal pasti syarikat-syarikat perniagaan dan korporat yang masih belum melaksanakan bayaran zakat perniagaan.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, zakat perniagaan perlu diserahkan kepada institusi khas yang menjaga hal ehwal zakat bagi membolehkan ia disalurkan kepada golongan asnaf yang berhak.

"Ada yang kita dapati mereka faham bahawa dengan menyalurkan bantuan itu kepada golongan memerlukan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sudah dikira zakat bagi mereka.

"Jika mengikut fatwa Mufti Negeri Terengganu, jika zakat tidak dibayar kepada amil, statusnya bukan sebagai duit zakat kerana zakat perlu diuruskan oleh institusi yang ada pentadbirannya agar agihan diberi kepada golongan asnaf yang layak menerimanya.

"Sepatutnya syarikat korporat bayar dahulu zakat perniagaan kepada Maidam dan mereka boleh mengambil 25 peratus dari jumlah itu untuk disalurkan sendiri kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis penyerahan wang zakat perniagaan sebanyak RM42,159.65 oleh Duyong Marina & Resort di sini pada Khamis.

Shaikh Harun memberitahu, pihaknya akan terus mendekati golongan berkenaan untuk memberi kefahaman mengenai kewajipan itu.

"Maidam akan terus mendekati syarikat perniagaan dan korporat di Terengganu untuk membimbing dan memberi dakwah kepada mereka mengenai kaedah terbaik menyalurkan zakat perniagaan.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini syarikat kumpulan Ketengah Holding Sdn Bhd merupakan pembayar zakat perniagaan tertinggi di Terengganu iaitu sebanyak RM10.9 juta," katanya.

Jelas beliau, zakat perniagaan merupakan ibadah harta yang perlu ditunaikan ahli perniagaan Islam kerana ia merupakan kewajipan dan memberi manfaat terhadap ekonomi umat Islam di negara ini.

"Kita berusaha sebaik mungkin dalam membantu dengan memberi galakan kepada penerima zakat menjalankan perniagaan untuk keluar dari kepompong kemiskinan antaranya memberi bantuan peralatan seperti mesin pemotong rumput dan gerai jualan makanan.

"Setelah perniagaan yang dijalankan bergerak maju, mereka pula akan keluarkan zakat bagi membantu golongan lain yang memerlukan," katanya.

Shaikh Harun berkata, Maidam menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM240 juta sebelum hujung tahun ini.

"Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022, Maidam telah menerima sebanyak RM157 juta bayaran zakat di seluruh Terengganu dengan bayaran tertinggi melibatkan zakat pendapatan (RM75 juta) diikuti zakat perniagaan (RM35 juta).

"Maidam juga telah membelanjakan lebih RM162 juta dari wang zakat yang diperoleh tahun ini untuk diagihkan kepada golongan yang layak dan memerlukan," katanya.