'Nama calon BN tular mungkin betul, mungkin tidak'

Ab Rauf (lima dari kiri) dan Sulaiman (tiga dari kiri) bergambar di hadapan bangunan baharu MPAG di Alor Gajah pada Khamis.
Ab Rauf (lima dari kiri) dan Sulaiman (tiga dari kiri) bergambar di hadapan bangunan baharu MPAG di Alor Gajah pada Khamis.
A
A
A

ALOR GAJAH - BN Melaka menganggap senarai nama calon yang tular termasuk nama Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali adalah satu spekulasi.

Pengerusinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, setakat ini beliau belum mendapat sebarang keputusan rasmi daripada pihak ibu pejabat parti.

"Itu merupakan satu spekulasi (senarai calon) mungkin betul, mungkin tidak.

"Maka nama-nama yang disiarkan itu saya mengambil pendekatan adalah spekulasi," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pejabat Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Alor Gajah di sini pada Khamis.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ibrahim Durum, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dan Yang Dipertua MPAG, Saifuddin Abdul Karim.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, enam nama yang tular itu ada diantaranya termasuk 30 senarai nama yang telah dihantar kepada Pengerusi BN.

"Semua ada 30 nama (dihantar) ada yang termasuk dan ada tidak dalam senarai nama tular itu," katanya lagi.

Sementara itu, Sulaiman berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai senarai calon yang tular dan kemungkinan ia dilakukan oleh 'budak nakal.'

Artikel Berkaitan:

Beliau turut meminta orang ramai tidak mempercayai senarai calon tular berkenaan dan sabar menunggu keputusan yang akan diumumkan oleh presiden parti dalam masa terdekat ini.

"Yang tular saya tak tahu, pengumuman calon akan dibuat pada satu atau dua November oleh Pengerusi BN.

"Jadi yang tular jangan percaya, kalau datang dari orang parti sendiri bolehlah kita percaya," katanya.

Sejak malam Rabu tular di aplikasi WhatsApp senarai enam nama calon Parlimen termasuk Sulaiman bagi calon Parlimen Masjid Tanah, ADUN Klebang calon Parlimen Alor Gajah dan Crony Chew calon Parlimen Kota Melaka.

Timbalan Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mohamed Ali Mohamad disenaraikan calon Parlimen Tangga Batu, Pengerusi BN Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali bagi calon Parlimen Hang Tuah Jaya dan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan bagi calon Parlimen Jasin.