PKR Kelantan hantar senarai pendek calon PRN

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

MACHANG - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan sudah menghantar senarai pendek nama calon untuk dipertimbangkan bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kelantan dan Terengganu, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keputusan berkaitan calon itu bagaimanapun akan diumumkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Nama calon ada banyak kerana ramai yang nak jadi calon.

“Setakat ini senarai pendek sudah ada disediakan di peringkat parti yang diketuai oleh Rafizi Ramli sebagai Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR sebelum diumumkan oleh presiden (Anwar),” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke tebing Sungai Kelantan bagi Projek Jambatan di Kampung Joh, Machang ke Kampung Belimbing, Tanah Merah, pada Ahad.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan, namun jumlah kerusi yang akan ditandingi calon PKR belum diputuskan.

“Saya tidak boleh umumkan lagi dan kita perlu tunggu dan lihat, yang pastinya, saya tidak akan bertanding,” ujar beliau.