Senarai calon PRN tular: 'Ini semua usaha melobi' - Amirudin

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari pada Khamis menafikan senarai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang tular di media sosial baru-baru ini dan menyifatkan ia sebagai usaha melobi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan hadapan.

Beliau berkata, senarai calon PKR DUN Selangor hanya akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Calon PKR, yang akan berlangsung pada 16 dan 17 Julai ini.

"Saya pun tidak tahu macam mana orang itu boleh tahu senarai calon, calon perlu ditandatangani dan dipilih oleh jawatankuasa, 16 dan 17 hari bulan ini baru kita nak mesyuarat senarai calon.

"Ini semua kaedah lobi yang biasa nak pilihan raya tetapi saya nafikan senarai ini, bila nak pilihan raya itu perkara biasa,” katanya ketika diminta mengulas mengenai senarai calon PKR Selangor yang tular di media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata sedemikian selepas merasmikan program Jaringan BizClub: BizMatch Mega 2.0 di Dewan Raja Muda Musa, di sini pada Khamis.

Ketika ditanya mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi PKR Selangor pada PRN kali ini, Amirudin masih mengunci mulut dan menyerahkan kepada peringkat tertinggi parti untuk memaklumkan mengenai perkara tersebut.

"Saya tidak berada dalam posisi nak dedahkan (senarai kerusi), yang dedah kerusi-kerusi (parti lain) itu oleh pimpinan pusat. Walaupun saya naib presiden tapi saya bukan dalam posisi nak menjelaskan, mungkin Rafizi (Timbalan Presiden PKR, Ramli Ramli) atau Anwar (Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh beritahu mana kerusi-kerusi itu,” katanya.

Amirudin yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor sebelum ini memaklumkan pembahagian kerusi di antara PH dan BN selesai dengan lebih 20 peratus daripada 56 kerusi DUN akan diwakili BN manakala selebihnya akan ditandingi calon PH yang terdiri daripada parti PKR, DAP dan Amanah.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, PH mendominasi Selangor dengan memenangi 51 kerusi, diikuti BN dan PAS masing-masing mendapat empat dan satu kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan, diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos. - Bernama