Senarai palsu nama calon Pas tak jejas jentera PRN - Mohd Amar

MOHD AMAR
MOHD AMAR
A
A
A

PASIR PUTEH - Penyebaran senarai nama calon Pas Kelantan yang palsu tidak menjejaskan gerak kerja jentera parti itu untuk pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, senarai palsu tersebut dipercayai dibuat oleh pihak yang mempunyai banyak masa lapang dan bukan pertama kali dihadapi pihak parti itu.

“Bagi saya senarai nama palsu itu, orang yang tak ada kerja buat, saja-saja. Apabila tak ada kerja, dia buat senarai dan edar.

“Bagi kami, tak beri kesan apa-apa dan tak menjejaskan gerak kerja PRN. Sebab, kami dah lalui tiap-tiap kali pilihan raya, kadang-kadang ada sampai sepuluh senarai palsu,” katanya selepas Program Melabuh Tukun Tiruan Konservasi di Kompleks Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Tok Bali, di sini pada Ahad.

Akhbar sebelum itu melaporkan Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan senarai nama calon tersebut yang tular di media sosial sejak Khamis lalu.

Sementara itu, menurut beliau, Pas akan menampilkan 50 peratus calon muka baharu pada PRN pada 12 Ogos ini.

Katanya, calon muka baharu itu kelak akan meliputi calon dalam kalangan veteran, orang muda, wanita dan ulama.

“Amalan kami setiap kali pilihan raya, akan kemukakan muka baru dalam 30 peratus.

“Kali ini, kalaulah senarai diluluskan oleh Majlis Syura dan mendapat pengesahan daripada Pas Pusat, kita akan tengok hampir 50 peratus muka baru,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan tersebut bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut berkaitan ura-ura nama beliau yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar negeri itu.