Shahrir Samad sahkan tidak bertanding

Shahrir Samad . (Gambar kiri Kenyataan dimuat naik Shahrir Samad di Facebook miliknya.)
Shahrir Samad . (Gambar kiri Kenyataan dimuat naik Shahrir Samad di Facebook miliknya.)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun beliau berkata, tetap akan mengetuai jentera pilihan raya BN.

Katanya, keputusan untuk tidak bertanding itu kerana beliau sedang mempertahankan integriti dan nama baiknya di mahkamah.

Ini kerana jelasnya, masih ada yang bertanya sama ada beliau akan bertanding atau tidak sebagai calon BN pada PRU15 nanti.

"Saya telahpun beberapa kali menyatakan tidak akan bertanding tetapi tetap mengetuai jentera pilihanraya BN untuk menangkan calon pada PRU15. Sebabnya mudah sahaja. Saya sedang mempertahankan integriti dan nama baik di mahkamah.

"Tidak adil bagi saya meminta pengundi JB (Johor Bharu) untuk membersihkan saya.

"Saya harus membersihkan nama saya dulu melalui proses mahkamah. Itu sebabnya, tetapi tetap BN," katanya dalam kenyataan dimuat naik di akaun Facebooknya, pada Rabu.

Sebelum ini, Shahrir yang juga bekas Pengerusi Felda, didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan itu, sudah berjalan sejak 26 Julai lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.