NSRC selamatkan rakyat Malaysia daripada scammer

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEBANYAK 51,631 kes penipuan dalam talian direkodkan dari tahun 2019 hingga 2021 melibatkan kerugian melebihi RM1.61 bilion. Itu satu jumlah yang besar.

Daripada jumlah itu, sebanyak 26,349 tangkapan telah dibuat melibatkan sebanyak 16,029 pertuduhan di mahkamah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin ketika di Dewan Rakyat sebelum ini berkata, kes belian dalam talian mencatatkan angka tertinggi iaitu sebanyak 18,857 kes, diikuti pinjaman tidak wujud iaitu 15,546 kes.

Apa yang boleh disimpulkan di sini ialah betapa besarnya wang yang lesap angkara scammer. Angka tersebut semestinya dipandang serius oleh kerajaan serta agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Oleh kerana itu, ketika pembentangan Bajet 2023 lalu, kerajaan mengumumkan penubuhan National Scam Response Center (NSRC) sebagai salah satu inisiatif menangani kes-kes jenayah penipuan siber dengan lebih berkesan dan bersepadu.

NSRC merupakan pusat panggilan yang ditubuhkan bagi membantu menyekat pengaliran wang mangsa penipuan siber. Ia gabungan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), PDRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), institusi perbankan dan syarikat perkhidmatan telekomunikasi.

Memetik info di Facebook rasmi Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police, mangsa penipuan siber boleh terus menghubungi talian bank masing-masing yang operasi 24 jam, atau NSRC di talian 997 yang beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari.

Individu terlibat perlu memastikan mereka mempunyai butiran; antaranya maklumat insiden kejadian, maklumat komunikasi serta transaksi yang dilakukan seperti nombor telefon yang menghubunginya, cara perhubungan sama ada panggilan telefon, WhatsApp atau pesanan khidmat ringkas (SMS).

Artikel Berkaitan:

Dengan adanya NSRC, diharap kegiatan scammer yang dilihat seolah-olah tidak berkesudahan ini akan berkurangan dan beransur-ansur lenyap.

Walau apa pun usaha yang dilakukan, sebenarnya peranan orang ramai yang penting. Perlu sentiasa berhati-hati dan mengambil tahu taktik-taktik scammer seperti dipaparkan di media.

Bak kata orang, mencegah adalah lebih baik daripada merawat.