NSRC ditubuh perangi kes penipuan siber

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Wan Junaidi Tuanku Jaafar
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) ditubuhkan bagi menangani kes-kes jenayah penipuan siber dengan lebih berkesan dan bersepadu.

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia selaras dengan pengumuman Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada pembentangan Bajet 2023 lalu.

Menurut beliau, NSRC adalah sebuah pusat respons setempat yang menggabungkan kepakaran Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan institusi-institusi perbankan serta syarikat perkhidmatan telekomunikasi.

“Mereka boleh terus menghubungi talian khusus bank masing-masing berkenaan laporan insiden penipuan siber yang akan beroperasi 24 jam atau talian NSRC iaitu 997 yang beroperasi setiap hari termasuk cuti umum dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

“Tindakan segera menghubungi pihak bank atau NSRC adalah sangat penting bagi membolehkan tindakan menyekat pengeluaran wang mangsa selanjutnya daripada sistem perbankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujar Wan Junaidi, bagi memudahkan tindakan penguatkuasaan, mangsa perlu memberikan maklumat berkaitan insiden penipuan siber yang dialami semasa menghubungi pihak bank atau NSRC.

"Ia termasuk maklumat komunikasi antara mangsa dengan suspek seperti nombor akaun dan nama bank mangsa dan suspek serta jumlah dana yang terlibat.

“Pihak NSRC, agensi-agensi berkaitan di bawah NSRC atau bank-bank tidak akan menghubungi orang ramai untuk meminta maklumat perbankan peribadi seperti nombor pengenalan peribadi (PIN), TAC, OTP atau kata laluan,” tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Ulasnya, orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan sewajarnya jika terdapat mana-mana pihak yang meminta maklumat tersebut.