Ketua Pemuda Pas sedia berdebat

Ahmad Fadhli bersetuju debat diadakan antara ketua-ketua pemuda parti yang bertanding pada PRU15.
Ahmad Fadhli bersetuju debat diadakan antara ketua-ketua pemuda parti yang bertanding pada PRU15.
A
A
A

SHAH ALAM – Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari dalam kirimannya di laman Facebook sebentar tadi bersetuju agar debat sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Dalam kiriman itu, Ahmad Fadhli turut memuat naik satu tangkap layar yang menunjukkan cadangan debat itu oleh rakannya.

“Saya dilontarkan cadangan ini oleh sahabat saya, Muhtar Suhaili As-Sarawaki. Saya boleh setuju, ok jugakan? Penganjur Sinar Harian atau Astro Awani,” katanya.

Rakannya mencadangkan agar debat antara ketua-ketua pemuda parti yang bertanding pada PRU15 diadakan antaranya Ahmad Fadhli sendiri mewakili Perikatan Nasional (PN), Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bercakap kosong dan menabur janji palsu dengan menggunakan alasan 'debat' seperti mana dilakukan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14, bukanlah cara beliau.

Ismail Sabri berkata, adalah lebih baik beliau menumpukan kerja dan khidmat bakti kepada rakyat dan lebih prihatin kepada persediaan menjelang PRU15 dari segi keselamatan rakyat berbanding terlibat dalam debat.

Selain itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mencadangkan debat terbuka adalah dari Pengerusi Pelbagai Penganut Agama, Ir Mohd Jamaludin Shamsudin yang menyifatkan debat terbuka bertujuan membuka peluang kepada semua parti mengemukakan manifesto terbaik kepada masyarakat umum.

Artikel Berkaitan: