Selepas 83 tahun Wan Nab akhirnya miliki kad pengenalan

Wan Nab memegang kad pengenalan yang baru sahaja diterima pada program Mekar JPN di Kampung Laut 3, Tumpat pada Rabu. - Foto Bernama
Wan Nab memegang kad pengenalan yang baru sahaja diterima pada program Mekar JPN di Kampung Laut 3, Tumpat pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

TUMPAT - Seorang warga emas terlantar berhasrat mahu mengunjungi tempat yang lebih jauh dari rumahnya selepas pertama kali menerima dokumen pengenalan diri dan MyKad ketika usia mencecah 83 tahun.

Wan Nab Ismail sebelum ini takut untuk pergi ke tempat yang lebih jauh dan bimbang ditahan polis kerana tidak mempunyai MyKad mahupun sebarang dokumen pengenalan diri seperti sijil lahir.

Paling jauh Wan Nab pernah berjalan kaki sehingga tiga kilometer dari rumahnya di Kampung Laut 1 ke Kok Keli di sini.

“Seronok dapat MyKad. Dah boleh berjalan jauh selepas ini,” katanya ketika ditemui ketika Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri (JPN) di Kampung Laut 3 di sini pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh yang menyerahkan diserahkan MyKad tersebut kepada Wan Nab.

Wan Nab juga orang kurang upaya (OKU) lembam sejak lahir dan tidak pernah menerima perkhidmatan perubatan, kebajikan serta pendidikan secara rasmi seumur hidupnya sebelum ini.

Dia tidak pernah berkahwin dan sakit terlantar sejak lima bulan lalu. Dia dijaga oleh anak sepupunya, Zaidah Ismail, 47, dan anak saudaranya, Fauziah Ibrahim, 53. Kata Zaidah, kos penjagaan Wan Nab menelan belanja lebih RM800 sebulan bagi lampin pakai buang, sarung tangan dan tisu basah.

“Kami menghantar makanan tiga kali sehari ke rumahnya kerana dia tidak mahu tinggal bersama saudara. “Sebelum ini, dia memang suka berjalan tetapi tidak jauh kerana tidak ada MyKad akibat tidak pernah didaftarkan oleh ibu bapanya ketika mereka masih hidup,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kebajikan Produktif Dan Komuniti, Azman Mat Zin Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Azman Mat Zain berkata, Wan Nab akan menerima bantuan pesakit terlantar sebanyak RM500 setiap bulan bermula bulan depan.

“Kes Wan Nab tular kerana kesempitan hidup dan hasrat JKM untuk membantunya sebelum ini tidak berjaya kerana kekangan tidak mempunyai bukti kewarganegaraan. “Penerima bantuan JKM hendaklah rakyat Malaysia dan kerakyatannya dibuktikan sahih,” katanya.