Dua lagi didakwa culik lelaki Palestin

Dua lagi lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Rabu, atas pertuduhan menculik seorang lelaki Palestin berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit bulan lalu.
Dua lagi lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Rabu, atas pertuduhan menculik seorang lelaki Palestin berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit bulan lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Dua lagi lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas pertuduhan menculik seorang lelaki Palestin berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit bulan lalu.

Mohd Zaidi Mohd Zain, 54, dan Tengku Hazarul Ismail T Hamid, 49, berdiam diri ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah menahan Omar ZM Albelbaisy Raeda, 31, dengan cara tidak berpatutan untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Mayang di sini pada jam 10.40 malam, 28 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hanum Abdul Hadi dan Kamarul Aris Kamalludin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Chai Sia tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 15 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Pada 14 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan seramai 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan sama.

Semua tertuduh itu ialah Dody Junaidi, 42, Mohamad Norakmal Hassan, 41, Edy Ko'im Said, 40, Faizull Hardey Mohd Isa, 40, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 39, Mohamad Naziree Mustapha, 39.

Selain itu ialah Raibafie Amdan, 39, Nidarahayu Zainal, 34, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 25, Mohamad Sufian Saly, 23, dan Muhammad Al Hatim Mohd fauzi, 21.

Awal bulan ini, polis telah menahan 18 individu di sekitar Lembah Klang berhubung kes penculikan seorang lelaki Palestin di kawasan Jalan Yap Kwan Seng.