Cheng Hoe tuntut pemain Selangor fokus di Kota Bharu

Selangor FC. FOTO: SELANGOR FC
Selangor FC. FOTO: SELANGOR FC
A
A
A

SELANGOR FC menjangkakan tentangan sengit Kelantan United apabila kedua-dua pasukan menyingkap tirai aksi pertama Pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Rabu.

Malah menurut pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe, kelab pantai timur itu juga pastinya akan memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk memburu bekalan selesa menjelang perlawanan timbal balik kedua.

“Kelantan United adalah pasukan yang bagus walaupun beraksi di Liga Premier. Kita dapat lihat mereka memiliki corak permainan agresif selain bergantung dengan dua pemain import utama dari Nigeria (Njoku) dan Jepun (Motoyama).

“Mereka juga memiliki Nik Akif Syahiran Nik Mat yang mempunyai kualiti tersendiri dalam melakukan hantaran selain mencipta ruang buat jentera serangan.

“Saya mahu pasukan fokus sepanjang 120 minit perlawanan kerana apa sahaja boleh berlaku selepas format baharu. Malah kalau kita lihat di England, pasukan divisyen empat pun mampu mengejutkan pasukan Liga Perdana Inggeris,” katanya.

Untuk rekod, Selangor masih belum tewas dalam empat perlawanan terakhir sejak Cheng Hoe dilantik pengendali The Red Giants pada September lalu dilihat berada di landasan terbaik dalam misi mendakap kejuaraan ke-34 musim ini.

Mengenai status para pemain Selangor menjelang perlawanan itu, Cheng Hoe berkata, pasukan terpaksa melupakan khidmat Sharul Nazeem Zulpakar dan Alex Agyarkwa.

“Seperti yang kita tahu, Sharul dilayangkan kad merah pada perlawanan terakhir Liga Super bertemu Penang FC, sekali gus menyaksikan dia digantung perlawanan, manakala Agyarkwa pula mengalami kecederaan.

Artikel Berkaitan:

“Situasi ini menjejaskan perancangan pasukan khususnya ketiadaan Sharul yang membentuk kombinasi baik di posisi pertahanan bersama Yazan Al Arab sejak beberapa perlawanan lepas,” ujarnya.