ORIGINA penaja baharu Liga-M

Pengasas Origina, Fatin Diana (lima dari kiri) menyerahkan tajaan produk minuman ORIGINA kepada Ab Ghani Hassan (empat dari kanan) dalam satu majlis di Petaling Jaya pada Selasa.
Pengasas Origina, Fatin Diana (lima dari kiri) menyerahkan tajaan produk minuman ORIGINA kepada Ab Ghani Hassan (empat dari kanan) dalam satu majlis di Petaling Jaya pada Selasa.
A
A
A

MALAYSIAN Football League (MFL) mengumumkan syarikat minuman, ORIGINA sebagai penaja baharu TM Piala Malaysia 2022 dan Liga Malaysia 2023 selepas menandatangani perjanjian pada Selasa.

ORIGINA merupakan sebuah syarikat tempatan yang kini berkembang pesat sejak ditubuhkan pada 2013 dan bakal dikenali sebagai Rakan Rasmi Minuman Jus dan Susu Liga Malaysia.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, kedatangan ORIGINA sebagai salah satu lagi penaja Liga Malaysia telah membuktikan ekonomi bola sepak domestik semakin rancak selaras dengan populariti Liga Malaysia.

Menurutnya, beliau optimis kehadiran ORIGINA bukan sahaja mampu memberikan pendedahan baik sebaliknya Rakan Rasmi Minuman Jus dan Susu Liga Malaysia itu mampu menyerikan lagi suasana bola sepak negara khususnya saingan TM Piala Malaysia yang akan bermula esok (26 Oktober 2022).

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat datang kepada ORIGINA dan selaku wakil MFL, kami sangat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan ORIGINA.

“Kehadiran ORIGINA telah memberikan satu mesej penting di mana syarikat ini menaruh keyakinan tinggi kepada Liga Malaysia yang sentiasa memberikan potensi serta pendedahan positif bukan sahaja kepada produk mereka tetapi penglibatan mereka di dalam liga tempatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalimgam berkata: “Kerjasama MFL dan ORIGINA bukan sahaja menunjukkan perkara positif sebaliknya ia bakal menjadi satu penanda aras yang baik khusus daripada sektor ekonomi.

“Kami berbangga kerana mempunyai satu lagi jenama Malaysia yang memanfaatkan capaian yang boleh ditawarkan oleh Liga Malaysia. Dengan lebih banyak jenama baharu yang pada tradisinya tidak bersama bola sepak sudah mula menyertai Liga Malaysia. Kami percaya Liga Malaysia kini membuktikan bahawa kami mempamerkan nilai korporat sebenar yang diperlukan dalam penajaan sukan moden.

Artikel Berkaitan:

“Kami percaya kerjasama dengan ORIGINA akan memartabatkan bola sepak Malaysia dan kami juga teruja untuk mengembalikan nilai positif kepada Origina dan mengukuhkan lagi jenamanya menerusi aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan untuk mendekatkan lagi produk-produk mereka kepada peminat kelab Liga Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ORIGINA, Fatin Diana Mohd Zain berkata, ORIGINA berbangga menjadi pemain ke-12 untuk semua pasukan bola sepak Liga Malaysia, khususnya dari segi menyampaikan sokongan penting melalui penyediaan minuman yang terbaik bermula dengan kejohanan terunggul TM Piala Malaysia 2022 dan seterusnya Liga Malaysia musim depan.