PBT perlu telus laksana tugas, elak rasuah

Aminuddin (tiga kiri) ketika melancarkan buku OACP pada program berkenaan.
Aminuddin (tiga kiri) ketika melancarkan buku OACP pada program berkenaan.
A
A
A

SEREMBAN - Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu telus dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas serta perkhidmatan kepada masyarakat bagi mengelakkan tanggapan negatif sekali gus membanteras penularan rasuah.

Lembaga Penasihat Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Datuk Mohammad Salim Sundar Abdullah berkata, integriti setiap warga PBT perlu dipantau dan dinilai dengan tadbir urus yang baik bagi mengelakkan risiko rasuah.

"Jika dibiarkan boleh menjadi barah selain menyebabkan seluruh komuniti terpalit dengan perkara itu.

"Sebab itu pentingnya ada pelan anti rasuah supaya sesebuah organisasi itu dapat menyatakan secara telus jika mereka berhadapan risiko rasuah yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Seminar Bebas Rasuah, Integriti dan Tadbir Urus Terbaik Pihak Berkuasa Tempatan 2022 serta Pelancaran Buku Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada Selasa.

Hadir merasmikan program, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurut Mohammad Salim, pengurusan tertinggi yang mempunyai kuasa perlu bertindak tegas laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Anggota dan pegawai PBT sering berurusan dengan orang awam yang mana setiap tindakan mereka boleh menimbulkan persepsi kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Misalnya 'billboard' (papan iklan) yang banyak di sekitar Nilai, mungkin orang awam beranggapan pihak MBS tidak melakukan kerja tetapi sebaliknya (telah turun padang)," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali dalam ucapannya berkata, MBS menjadi PBT pertama di negeri ini yang membangunkan OACP.

"Pembangunan OACP ini sejajar dengan matlamat dan hasrat kerajaan Negeri Sembilan dalam Pelan Anti Rasuah Negeri Sembilan (ANTS) 2020-2024 iaitu mewujudkan ‘Negeri Sembilan Bebas Rasuah’ dan menuju ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti.

"Malah, ia (OACP) mengandungi pelan tindakan menyeluruh bagi membanteras rasuah, meningkatkan budaya kerja berintegriti dan tadbir urus yang baik di Majlis Bandaraya Seremban.

"Diharapkan ia dapat memberi manfaat dan faedah kepada warga Bandar Raya Seremban di samping menjadi satu pemangkin serta mekanisme yang jitu dalam memastikan mutu penyampaian perkhidmatan MBS terus telus dan berkredibiliti," katanya.