Warga KKD perlu amanah, integriti laksana tugas

Fahmi Fadzil - Foto Bernama
Fahmi Fadzil - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Warga Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) perlu sentiasa mendukung sikap amanah dan menjunjung integriti ke tahap yang tertinggi dalam melaksanakan tugas, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, sikap amanah dan integriti yang diterapkan bukan sahaja memberi harga terhadap diri sendiri malah memberi impak baik kepada organisasi, rakyat dan negara secara keseluruhannya.

"Ayuh kita suburkan sikap amanah dan mengukuhkan integriti dalam diri kita semua. Saya juga ingin menyeru agar sikap ikhlas dan suasana keseronokan dalam bekerja terus dipupuk.

"Saya percaya KKD mempunyai warga kerja yang berdaya saing dan terbaik dalam apa jua khidmat yang diberikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Komunikasi dan Digital tahun 2022 di sini hari ini.

Dalam usaha melaksanakan perubahan yang lebih dinamik dan progresif, beliau berkata warga KKD perlu terus memberi penekanan kepada pembentukan peribadi melalui peningkatan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

"Warga kerja KKD merupakan aset penting dalam menjayakan setiap dasar dan agenda nasional yang diterajui Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Mengenai APC, Fahmi berkata, anugerah tersebut diharapkan dapat menyuntik semangat kepada seluruh warga KKD supaya sentiasa mempunyai daya saing dalam membudayakan amalan kerja yang cemerlang seiring dengan ikrar perkhidmatan awam.

Pada hari ini seramai 374 warga KKD menerima sijil penghargaan dan insentif bernilai RM1,000 sempena APC termasuk 53 penerima daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching serta Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin. - Bernama.