Banjir: KPDNHEP Kelantan tambah bekalan makanan

Azman memeriksa cili merah semasa mengadakan pemantauan pematuhan skim harga maksimum musim perayaan Deepavali di sebuah pasar raya di Kota Bharu pada Selasa.
Azman memeriksa cili merah semasa mengadakan pemantauan pematuhan skim harga maksimum musim perayaan Deepavali di sebuah pasar raya di Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan akan menambah bekalan makanan sebanyak 30 peratus sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, tambahan tersebut akan dibuat oleh 66 syarikat pembekal dan 67 peruncit di negeri ini yang telah ditetapkan.

Menurut beliau, ketetapan itu dibuat bagi memastikan stok bekalan sentiasa mencukupi sekali gus memudahkan pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan dengan mudah.

"Penambahan itu akan bermula seawal November ini dan ia melibatkan barangan seperti beras, gula, biskut, ayam, telur dan beberapa barangan kawalan lain," katanya selepas mengadakan pemantauan pematuhan skim harga maksimum musim perayaan Deepavali di sebuah pasar raya di sini pada Selasa.

Azman berkata, bagi melancarkan gerak kerja agihan bekalan KPDNHEP akan mengadakan perjumpaan dengan semua pembekal dan peruncit terlibat.

Ujarnya, jika banjir berlaku di luar kawalan bantuan dari negeri yang tidak terjejas akan dipohon.

Tambah beliau, bantuan itu pernah dipohon dari Selangor dan Kuala Lumpur semasa Kelantan dilanda bah kuning pada 2014 lalu.

"Setakat ini kita menjalinkan kerjasama erat dengan semua pihak termasuklah KPDNHEP di negeri-negeri lain," katanya.

Artikel Berkaitan: