TFC tawar kontrak setahun kepada Nafuzi

Nafuzi dan pemain TFC, Faisal Halim selepas perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman baru-baru ini. - Foto Bernama
Nafuzi dan pemain TFC, Faisal Halim selepas perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

TERENGGANU Football Club Sdn Bhd masih menagih khidmat jurulatih muda meningkat naik, Nafuzi Zain dengan menawarkan kontrak baharu kepada beliau untuk musim depan.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Ahli Lembaga Pengarah yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah di Kediaman Seri Iman pada Selasa.

Menurut Wan Sukairi, keputusan untuk mengekalkan khidmat jurulatih kelahiran Kelantan itu dibuat berdasarkan prestasi cemerlang beliau membawa pasukan Terengganu FC (TFC) ke pentas akhir Piala FA dan layak ke saingan Piala Konfederasi Asia (AFC) musim depan.

“Keputusan mesyuarat bersetuju memberi tawaran kepada saudara Nafuzi Zain untuk terus mengemudi pasukan TFC musim depan dengan bajet yang ada pada Terengganu Football Club Sdn Bhd sekarang.

“Tawaran sambungan kontrak dibuat kerana kita berpuas hati dengan pencapaian dan beliau juga berjaya memenuhi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan pihak pengurusan musim ini iaitu layak ke AFC dan final Piala FA," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd pada Selasa.

Bagaimanapun menurut Wan Sukairi, pihaknya masih perlu menunggu keputusan akhir daripada Nafuzi yang diharap dapat meneruskan misi ke AFC musim depan.

Katanya, pihak pengurusan akan menghantar surat tawaran dalam masa terdekat kepada Nafuzi dan beliau diberi tempoh 14 hari bagi menyatakan jawapan.

Kita tawarkan kontrak setahun kepada Nafuzi, harap dia dapat beri jawapan secepat mungkin untuk kita susuli dengan perkara lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Nafuzi, 44, memulakan karier bersama skuad Penyu pada 2018 sebagai penolong jurulatih kepada Irfan Bakti Abu Salim.

Beliau kemudian dilantik sebagai ketua jurulatih interim skuad Penyu pada 2019 selepas Irfan Bakti meletak jawatan secara mengejut susulan prestasi buruk pasukan.

Khidmat beliau terus disambung sehingga 2022 dengan pencapaian cemerlang iaitu menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua, naib juara Piala FA dan layak ke Piala AFC musim depan. - Bernama