Pemandu teksi, buruh didenda RM70,000 seludup PATI

Nazar (dua dari kiri) dan Khairul (tiga dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen, pada Selasa.
Nazar (dua dari kiri) dan Khairul (tiga dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Seorang pemandu teksi dan buruh didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa selepas mengaku salah menyeludup tujuh lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI), empat tahun lalu.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nazar Sukkur, 52, dan Khairul Nasir, 40, yang membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati secara bersama-sama telah membenarkan tujuh PATI warga Indonesia berada dalam kereta jenis teksi jenis Toyota Innova kira-kira jam 11.30 malam di pesisiran pantai Jalan Pokok Asam di sini, pada 10 Disember 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 55(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap PATI.

Mengikut fakta kes, kedua-dua mereka ditahan atas maklumat disalurkan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pinang selepas disyaki terlibat dengan kegiatan penghantaran pulang PATI warga Indonesia.

Siasatan dijalankan mendapati salah seorang dibawa merupakan tekong darat bernama Rio Haspani (warga Indonesia) yang juga bekas tunang kepada adik ipar Khairul.

Kegiatan itu telah dijalankan menggunakan teksi milik Nazar dan sebuah Proton Wira milik bapa Khairul.

Artikel Berkaitan:

Nazar diwakili Peguam Datuk Baljit Singh manakala Khairul diwakili Zulfikri Zakaria merayu hukuman mereka diringankan kerana pengakuan mereka telah menjimatkan masa mahkamah, selain kedua-duanya telah insaf.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Yusof bagaimanapun memohon agar hukuman setimpal diberikan terhadap tertuduh sebagai pengajaran dan mengambil kira kepentingan awam.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian menetapkan denda sebanyak RM35,000 bagi setiap tertuduh atau penjara tujuh bulan jika gagal bayar.