Sultan Perak berkenan rasmi sambutan Hari Hutan Antarabangsa

Sultan Nazrin berkenan menanam pokok sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat Perak di The Treasure@Taman Herba, Gopeng.
Sultan Nazrin berkenan menanam pokok sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat Perak di The Treasure@Taman Herba, Gopeng.
A
A
A

GOPENG - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri di The Treasure@Taman Herba di sini, pada Selasa.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah.

Berangkat sama, Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penganjuran sambutan bertemakan 'Hutan untuk Kesejahteraan Masyarakat' ini menepati hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan masyarakat yang prihatin terhadap pemuliharaan alam sekitar dan kepentingan hutan bagi pembangunan mampan.

Menurutnya, sebanyak 1.37 juta pokok berjaya ditanam sehingga September lalu dengan keluasan 5,026 hektar di seluruh negeri.

Kejayaan ini dicapai hasil pelbagai program penanaman pokok termasuk Communication, Education, Participating and Awareness (CEPA) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak bersama pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

"Program penghijauan melalui penanaman pokok ini adalah amat penting sejajar dengan perkembangan dunia global yang kini berhadapan dengan masalah kesan pemanasan iklim," katanya.

Kata Saarani, Jabatan Perhutanan negeri telah mengklasifikasikan sejumlah 485,613 hektar daripada kawasan hutan simpanan kekal sebagai hutan perlindungan.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah itu, sebanyak 295,400 hektar adalah sebagai hutan tadahan air. Dengan adanya fungsi kelas hutan perlindungan, maka ia mengukuhkan lagi jumlah kawasan berhutan di Negeri Perak yang terus dipelihara dan dilindungi.

"Selain itu, kerajaan negeri juga memberi komitmen dalam pengurusan biodiversiti iaitu seperti penubuhan kawasan koridor ekologi Central Forest Spine (CFS)," katanya.

Beliau berkata, CFS penting bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar yang disebabkan fragmentasi hutan dan laluan semulajadi hidupan liar yang terhalang dengan projek pembangunan.

"Terdapat lapan koridor ekologi CFS yang telah ditubuhkan dan dikekalkan dengan jumlah keseluruhan luas kawasan koridor 54,617 hektar.

"Oleh itu, usaha dan inisiatif CFS ini amat penting untuk menjaga pelbagai khazanah alam semula jadi, selaras dengan status negara sebagai salah sebuah negara yang memiliki kepelbagaian biologi di dunia," katanya.

Pada majlis itu baginda berkenan menyampaikan sijil penghargaan dan penyerahan pokok kepada Pegawai Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abd Malik dan Pengarah Urusan The Treasure, Eidia Erriany Abdul Rahim.

Sultan Nazrin turut menyampaikan sijil penghargaan sumbangan penanaman pokok kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Yahanis Yahya dan Pengurus Besar Lembaga Air Perak, Datuk Ishak Abd Rahman.