Liga-M belum sedia guna VAR

Stuart (kanan) pada sidang media selepas majlis menandatangani penaja baru syarikat minuman Origina untujk Piala Malaysia 2022 dan Liga Malaysia 2023
Stuart (kanan) pada sidang media selepas majlis menandatangani penaja baru syarikat minuman Origina untujk Piala Malaysia 2022 dan Liga Malaysia 2023
A
A
A

HARAPAN peminat bola sepak tanah air untuk melihat penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) digunakan dalam masa terdekat termasuklah ketika perlawanan akhir Piala Malaysia mungkin tidak kesampaian.

Ia selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberi bayangan teknologi yang diguna pakai buat pertama kali di Malaysia ketika perlawanan akhir Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil tempoh hari mungkin tidak dapat digunakan atas beberapa faktor.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalinggam berkata, ia seolah tidak adil sekiranya VAR itu hanya digunakan dalam satu perlawanan sebaliknya memerlukan masa untuk teknologi itu digunakan dengan sempurna.

“Isu VAR ini adalah bukan semata-mata untuk kita adakan dalam satu match sahaja. Malah banyak perkara yang perlu dilihat termasuklah perlu melatih pengadil menggunakan teknologi itu selain masalah infrastruktur stadium dan kos.

“Seperti kita tahu kalau kita pergi lihat perlawanan di stadium kadang itu akan ada masalah internet. Jadi kalau kita nak gunakan teknologi ini hanya di Stadium Bukit Jalil tidak adil.

“Kita perlu lihat juga Stadium di Alor Star, Kota Bharu ataupun di SSI (Stadium Sultan Ibrahim) atau dimana-mana untuk pastikan penyediaan infrastruktur.

“Benda ini memerlukan masa kerana Stadium itu bukan hak milik pasukan tetapi hak milik perbadanan stadium ataupun mungkin kerajaan negeri. Di sini kita perlukan masa untuk pelaksanaan VAR ini dijalankan sempurna dan bukan semata-mata untuk satu perlawanan sahaja,“katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani penaja baru syarikat minuman Origina untuk Piala Malaysia 2022 dan Liga Malaysia 2023, di sini, sebentar tadi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Stuart turut memberitahu, MFL ketika ini dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil pendekatan dengan mempertingkatkan lagi keupayaan pengadil selain mengambil inisiatif lain dalam usaha memastikan mutu pengadilan di liga domestik termasuk ketika aksi final tidak berhadapan sebarang masalah.

“Banyak perbincangan dalaman berlaku (bagi meningkatkan kualiti pengadilan) selain daripada VAR termasuk cadangan untuk adakan kursus-kursus untuk memperkasakan pengadil perlawanan.

“Mungkin beberapa cadangan lain, untuk kita pastikan program sistem pengadilan boleh dilaksanakan dengan sempurna,“ujarnya.