Kelantan FC cari bekalan selesa di Kuching

Kelantan FC mahu mencetak seberapa banyak jaringan pada aksi Piala Malaysia menentang Sarawak United di Stadium Negeri, Kuching pada Khamis.
Kelantan FC mahu mencetak seberapa banyak jaringan pada aksi Piala Malaysia menentang Sarawak United di Stadium Negeri, Kuching pada Khamis.
A
A
A

KELANTAN FC mahu mencetak seberapa banyak jaringan pada aksi Piala Malaysia menentang Sarawak United FC di Stadium Negeri, Kuching pada Khamis.

Pengendalinya, Rezal Zambery Yahya berkata, bekalan selesa amat diperlukan oleh The Red Warriors (TRW) menjelang aksi timbal balik kedua di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, Isnin depan.

"Sebagai pasukan pelawat, Kelantan FC akan cuba manfaatkan peluang beraksi di tempat lawan dengan membawa bekalan gol ke Kota Bharu selain mengurangkan defisit jaringan.

"Kami akan cuba untuk mara sejauh mungkin dengan memberikan aksi terbaik pada perlawanan itu nanti," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, barisan pemain TRW sudah bersiap sedia untuk berdepan dengan Sarawak United dan moral pemain berada pada tahap terbaik.

Ujarnya, meskipun tanpa aksi persahabatan namun Kelantan FC tetap menjalani latihan secara berkala.

"Kami juga telah mulakan latihan intensif di Nilai, Negeri Sembilan seminggu awal sebelum berlepas ke Sarawak untuk aksi pertama Piala Malaysia.

"Hal ini bagi mengelakkan pemain berdepan keletihan semasa dalam perjalanan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rezal Zambery turut mengingatkan barisan pemain supaya tidak leka dan mengambil mudah keupayaan pasukan lawan.

Tambahnya, lawan pasti akan memberikan aksi terbaik dan mereka pasti mempunyai cita-cita untuk melangkah ke saingan berikutnya.

Jika menang, Kelantan FC dijangka berdepan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) atau PJ City FC.