Enam kereta musnah terbakar di parkir kondominium

Enam buah kenderaan musnah dijilat api dalam kebakaran di sebuah kondominium di Desa Petaling, Cheras. Foto PDRM
Enam buah kenderaan musnah dijilat api dalam kebakaran di sebuah kondominium di Desa Petaling, Cheras. Foto PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak enam buah kenderaan musnah dalam kebakaran di kawasan parkir sebuah kondominium di Desa Petaling, Cheras, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.40 malam.

"Siasatan awal mendapati, kebakaran melibatkan enam buah kereta dan dipercayai bermula dari sebuah kenderaan di aras 3B," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Zam Halim berkata, api kemudian merebak ke aras 3C dan 2B menyebabkan beberapa kenderaan di aras terbabit turut dijilat api.

"Kebakaran berjaya dikawal oleh bomba daripada Balai Bomba Sri Petaling dan Balai Bomba Sungai Besi.

"Forensik bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran," katanya.

Beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 /585 atau mana-mana balai polis.

Artikel Berkaitan: