Rakyat Sabah mahu pelaksanaan sepenuhnya MA63, bukan jawatan TPM

Azis Jamman
Azis Jamman
A
A
A

KOTA KINABALU - Rakyat Sabah bukannya mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), kata Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan) Datuk Mohd Azis Jamman.

Penyandang kerusi Parlimen Sepanggar itu berkata, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri pernah ditawarkan jawatan berkenaan ketika pemerintahan kerajaan PN yang diterajui Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketika kerajaan Persekutuan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Namun kita menolak tawaran itu. Apa yang dimahukan ialah pelaksanaan sepenuhnya dengan segera dan tanpa bertangguh lagi, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah dipersetujui sekian lama antara Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu semasa pembentukan Malaysia.

"Kita tidak mahu lagi mendengar siri rundingan menerusi jawatankuasa yang tiada titik penyelesaian dan kita tidak mahu lagi mendengar pelbagai alasan seperti menunggu sehingga kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan kukuh, barulah MA63 dapat dilaksanakan," katanya bagi mengulas berhubung tawaran TPM mewakili Sabah dan Sarawak yang dikemukakan oleh BN dan PH pada Isnin.

Tambah beliau lagi, kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan tidak akan bertambah baik dengan mengambil kira salah laku dan amalan rasuah, salah guna kuasa dan kronisme yang berleluasa di negara ini.

"Kita mahukan hak sama rata, formula yang adil dan kesaksamaan untuk Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam pembentukan negara ini dan kita tidak mahu lagi diabaikan serta dianaktirikan sehingga Sabah dan Sarawak jauh ketinggalan dari sudut pembangunan dan infrastruktur.

"Adakah dengan mewujudkan jawatan TPM bagi Sabah dan Sarawak bermakna pemimpin dari Sabah dan Sarawak tidak boleh atau tidak akan memegang jawatan Perdana Menteri pada masa hadapan?," katanya.

Beliau berkata lagi, apa makna Sabah, Sarawak dan Semenanjung sebagai rakan kongsi sama rata dalam Persekutuan Malaysia jika jawatan Perdana Menteri hanya dikhaskan untuk pemimpin di Semenanjung.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang kini dimahukan rakyat Sabah dan Sarawak adalah melaksanakan segera semua perkara yang telah dipersetujui pemimpin lampau ketika pembentukan Malaysia," ujarnya.