'Tiga TPM bukan pembaziran berbanding empat menteri kanan'

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - Jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) masing-masing dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang akan diwujudkan Barisan Nasional (BN), disifatkan bukan suatu bentuk pembaziran, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurutnya, jawatan TPM itu dilihat lebih baik berbanding empat menteri kanan yang ada masa kini.

"Ada orang kata, jawatan tiga TPM ini adalah satu pembaziran, namun pada pandangan saya, kita boleh hentikan empat jawatan menteri kanan dan digantikan dengan tiga TPM.

"Jika dianggap besar, kita boleh kurangkan gaji dan elaun mereka supaya tidak terlalu besar.

"Tiga TPM ini dilihat sebagai pilihan lebih baik, terutama di Sabah dan Sarawak kerana dapat membantu Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar selepas menghadiri rumah terbuka Deepavali di kediaman Ketua MIC Bahagian Pontian, Ajit Johl di sini pada Isnin.

Pada Ahad, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan jawatan TPM dari Sabah dan Sarawak diletakkan dalam manifesto BN Sabah.

Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan agar manifesto BN Sabah dapat mencadangkan kepada Perdana Menteri jika parti itu dominan membentuk kerajaan di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Artikel Berkaitan:

Pada 27 Ogos tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan jawatan empat menteri kanan.

Mereka ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurut bekas Ahli Parlimen Pontian itu lagi, cadangan jawatan TPM di dalam manifesto BN itu merupakan 'game changer' BN berbanding parti-parti lain yang bertanding pada PRU15 kali ini.

"Kita tahu bahawa selama ini tidak pernah diberi peluang kepada Sabah dan Sarawak bagi jawatan Perdana Menteri dan TPM. Tetapi kali ini, di dalam manifesto BN, jawatan TPM dari Sabah dan Sarawak telah diumumkan oleh Presiden UMNO.

"Perkara ini pastinya merupakan sesuatu yang cukup untuk rakyat di Sabah dan Sarawak," katanya.