Jelajah Selangor Penyayang di Hulu Selangor ditunda

Amirudin ketika berucap pada program Jelajah Selangor Penyayang.
Amirudin ketika berucap pada program Jelajah Selangor Penyayang.
A
A
A

KLANG - Program Jelajah Selangor Penyayang Hulu Selangor yang dijadual berlangsung November ini ditunda pada Disember bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sehubungan itu Jelajah Selangor Penyayang di Sepang yang akan berlangsung pada 29 dan 30 Oktober ini menjadi yang terakhir sebelum PRU15,

“Kita akan sambung semula di Hulu Selangor pada Disember untuk beri laluan kepada PRU15 supaya tidak timbul sebarang isu. Jelajah akan diselesaikan menjelang akhir tahun ini.

“Selepas ini kita bercadang anjur jelajah ke peringkat kecil bergantung kepada maklum balas yang diperoleh selepas selesai fasa kedua,” katanya semasa program Jelajah Selangor Penyayang Klang di Stadium Sultan Suleiman di sini pada Ahad.

Amirudin turut melancarkan Skim Insurans Am Selangor (Insan) selain menyampaikan pelbagai inisiatif kepada rakyat Selangor sempena program berkenaan.

Menurut Amirudin, program Jelajah Selangor Penyayang mula dianjurkan pada 19 Jun lalu dan di daerah Klang adalah siri yang ketujuh.

Program itu menyediakan pelbagai acara antaranya saringan kesihatan percuma, jualan barangan asas murah, pameran dan acara sukan.

Jelajah Selangor Penyayang sebelum ini diadakan di Taman Kosas, Ampang Jaya; Dataran Pantai Morib, Kuala Langat; Stadium Utama Kuala Selangor; Dataran Boulevard Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya; Padang Awam Batu Caves dan Stadium Sungai Besar.

Artikel Berkaitan: