Sudah tiba masa beri peluang muka baharu: Khalid

Khalid Abdul Samad - Foto Bernama
Khalid Abdul Samad - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Penyandang kerusi Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad akur dengan keputusan parti yang tidak mengekalkan dirinya sebagai calon di kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada muka baharu.

Beliau berkata, keputusan itu merupakan tindakan biasa yang diambil mana-mana parti termasuk Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai ‘pembaharuan’.

Malah khalid yang juga Pengarah Komunikasi Amanah berkata, beliau yakin dengan kemampuan calon yang bakal menggantikannya itu.

“Saya sudah menjadi ahli Parlimen PH selama tiga penggal dan selama tempoh itu juga kita telah membina pelapis baharu dan saya rasa ini masanya untuk saya memberi laluan kepada pemimpin baharu.

“Ada pemimpin (baharu) yang berkemampuan untuk menyaingi pertandingan ini.

"Sudah pasti saya selaku orang yang begitu dekat dengan Shah Alam tidak akan melepaskan kerusi kepada seseorang yang saya tidak percayai.

“Calon (Amanah Parlimen Shah Alam) telah dikenal pasti dan beliau daripada akar umbi dan telah berada di Shah Alam sebelum saya menjadi ahli Parlimen pun,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sebaik selesai mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Rundingan PH di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini pada Ahad.

Menurut Khalid, bagi menghadapi PRU15 kali ini, beliau dicalonkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa.

“Saya akan berpindah ke kerusi (Parlimen lain) seperti mana yang dimahukan oleh parti dan tiba masanya untuk saya ucapkan terima kasih kepada pengundi Shah Alam yang telah memilih saya sebelum ini,” katanya.

Pada Ahad, Pengarah Pilihan Raya Amanah, Datuk Asmuni Awi memaklumkan Khalid akan bertanding di Parlimen Titiwangsa.

Beliau berkata, keputusan itu merupakan pengorbanan terbesar dilakukan Khalid.

Ini kerana katanya, meninggalkan Shah Alam bukan keputusan mudah apatah lagi Parlimen tersebut telah dikuasai Khalid selama tiga penggal dan pada pilihan raya umum yang lalu beliau memperoleh majoriti 33,849 menunjukkan kepimpinannya diterima semua pihak.

Artikel Berkaitan: