Pandelela tamat saingan di tempat keenam Piala Dunia 2022

Pandelela
Pandelela
A
A
A

RATU terjun negara Datuk Pandelela Rinong Pamg menamatkan saingan di tempat keenam acara 10 meter (m) platform wanita di Piala Dunia FINA 2022 di Berlin, Jerman, awal pagi ini.

Pada kejohanan yang berlangsung di Arena Schwimm- und Sprunghalle im Europasportpark (SSE), atlet berusia 29 tahun itu mencatatkan 263.45 mata sekali gus gagal mengulangi kejayaan membawa pulang pingat emas pada edisi lalu di Tokyo, Jepun.

Pada edisi 2021, Pandelela berjaya mengetepikan cabaran penerjun tuan rumah Matsuri Arai serta Caeli Mckay dari Kanada, dan menjadi satu-satunya atlet yang menyumbang pingat buat skuad negara.

Juara dunia 2019 dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 berusia 17 tahun Chen Yuxi, dari China merangkul emas selepas mengumpul 449.85 mata sementara rakan senegara berusia 15 tahun yang juga pemenang emas Olimpik Tokyo Quan Hongchan membawa pulang perak dengan kutipan 430.45 mata.

Nike Agunbiade dari Amerika Syarikat meraih gangsa setelah merekodkan 298.70 mata, manakala wakil tuan rumah, Pauline Alexandra Pfeif di tempat keempat dengan 277.50 mata dan Katrina Young dari Amerika Syarikat mencatatkan 274.65 mata untuk menamatkan cabaran di tempat kelima. - Bernama

Artikel Berkaitan: