Azeem akhiri saingan di tempat ketujuh

Muhammad Azeem
Muhammad Azeem
A
A
A

JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mengakhiri saingan akhir 100 meter (m) Kejuaraan Trek dan Padang SEC di Louisiana di tempat ketujuh dengan catatan masa 10.25 saat (s) pada Ahad.

Dia yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat dan mewakili Auburn State University Alabama itu tidak dapat mengulangi pecutan terbaiknya musim ini pada peringkat saringan semalam dengan catatan masa 10.11s

Bagi Azeem, ia tetap menjadi pengalaman berharga buatnya dan bersedia untuk melakukan yang lebih baik pada kejohanan akan datang.

"Minggu yang baik dengan pelari-pelari yang pantas. Salah satu proses pembelajaran," katanya di laman Twitter miliknya.

Acara final 100m lelaki itu dimenangi oleh pelari Louisiana State University (LSU), Godson Oghenebrume yang mencatat 10.04s manakala tempat kedua dimenangi rakan sepasukan Azeem, Favour Ash dengan catatan 10.08s manakala kedudukan milik Dorian Camel dengan catatan 10.19s.

Sebelum ini, Azeem melakar 10.14s untuk menamatkan saingan di tempat ketiga pada Perlumbaan East Coast di Florida, bulan lalu.

Pada Mac, Azeem mencatat 10.32s pada Kejuaraan Perlumbaan Florida State University (FSU).

Sasaran utama Azeem pada tahun ini adalah untuk melakukan catatan 10.00s untuk melayakkan diri ke Kejuaraan Dunia di Budapest, Hungary, Ogos nanti.