PRU15: PH letak Azhar di kerusi Parlimen Marang

Raja Kamarul Bahrin (tiga dari kiri) bersama rakan pakatan lain pada majlis Pelancaran Jentera PRU15 PH Kuala Terengganu di aini pada malam Sabtu.
Raja Kamarul Bahrin (tiga dari kiri) bersama rakan pakatan lain pada majlis Pelancaran Jentera PRU15 PH Kuala Terengganu di aini pada malam Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pakatan Harapan (PH) Terengganu mengesahkan Azhar Abdul Shukor, 57, dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding di Parlimen Marang yang merupakan kubu kuat Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, Azhar yang pernah bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada 2016 merupakan tawaran agamawan alternatif kepada pengundi di Parlimen berkenaan.

Menurutnya, pemilihan Azhar bukan bermaksud parti itu ketandusan pemimpin tempatan yang layak sebaliknya membuktikan betapa Parti Amanah Negara (Amanah) berjiwa besar untuk meletakkan calon dari luar bagi menguji kemampuan di kerusi pemimpin utama Pas.

"Beliau (Azhar) bukan orang asing yang tiada akar umbi di sini kerana turut mempunyai ahli keluarga dan perniagaan di Terengganu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera PRU15 PH Kuala Terengganu di sini pada malam Sabtu.

Pengerusi Amanah Terengganu itu berkata, pihaknya menerima kehadiran Azhar di Marang dan akan memberi sepenuh sokongan kepada beliau sepanjang tempoh berkempen nanti.

"Ustaz Azhar akan bertanding di kerusi yang sangat panas dan sukar ditembusi, kita (PH Terengganu) perlu beri satu alternatif kepada orang ramai bahawa masih ada agamawan yang ingin memimpin dengan lebih progresif dalam lingkungan konsep 'rahmatan lil alamin' (rahmat untuk sekelian alam).

"Ustaz Azhar ini bersikap terbuka dan sangat berjiwa besar, malah beliau begitu ikhlas dan sanggup masuk ke kubu kuat Pas di Marang.

"Kita akan beri sebanyak mungkin bantuan kepada beliau untuk buka mata rakyat bahawa tidak boleh lagi terima ajaran ketinggalan zaman seperti buruk sangka, kafir-mengkafir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azhar sebelum ini ada mengumumkan beliau akan mencabar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di kerusi Parlimen Marang pada PRU15 nanti.

Pada PRU-14, kerusi Parlimen Marang dimenangi Abdul Hadi dengan majoriti 21,954 undi menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endot yang memperoleh 31,795 undi, manakala calon PH dari PKR, Zawawi Sulong hilang wang deposit.