Beri tawaran munasabah, bukan retorik

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KURANG dari 15 hari lagi penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan seterusnya tempoh 14 hari berkempen akan bermula.

Namun sejak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh-tarikh penting bagi PRU15, parti-parti politik yang terlibat dilihat sudah mula berkempen secara digital dengan memperkasakan penggunaan media sosial masing-masing.

Tidak kurang juga bakal-bakal calon yang akan bertanding dilihat sudah mula mempersiapkan 'peluru' masing-masing, hanya menunggu masa menarik picu untuk dilepaskan.

Pelbagai jenis tawaran dikemukakan sebagai usaha menarik sokongan awal rakyat dan sudah tentulah isu-isu tempatan menjadi keutamaan orang politik.

Bagi UMNO, inisiatif yang dikemukakan dalam pembentangan Bajet 2023 akan direalisasikan sekiranya parti itu kembali membentuk kerajaan seperti sebelum PRU14.

PH pula menawarkan Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri jika gabungan itu berjaya menawan Putrajaya.

Keputusan ini sememangnya dinanti-nantikan penyokong PKR yang sudah lama menantikan figura itu kembali memegang tampok kerajaan.

Begitu juga dengan gabungan baharu dalam landskap politik Malaysia iaitu Gerakan Tanah Air (GTA) yang diketuai tokoh pemimpin negara, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berjanji akan meneruskan Bajet 2023 dengan menambah baik bantuan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Tidak mahu ketinggalan dalam 'perang' prakempen PRU15, Perikatan Nasional (PN) turut menawarkan sebuah kerajaan yang bersih dan bebas rasuah jika mereka membentuk kerajaan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan tiada pilih kasih antara kaum di negara ini selain akan meneruskan Bajet 2023 dengan penambahbaikan sewajarnya.

Melihat kepada tawaran-tawaran yang dikemukan parti-parti politik, ia seolah-olah sebuah perlumbaan untuk memenangi hati para pengundi. Siapa dahulu yang sampai ke hati rakyat, dikira pemenang.

Rakyat pula seperti penjaga bendera di garisan penamat, yang hanya mengibarkan bendera apabila pemenang berjaya melepasi garisan tersebut.

Justeru berilah tawaran yang berbaloi, menyenangkan hati rakyat. Jangan pula janjikan bulan dan bintang, lebih-lebih lagi rakyat kini semakin bijak untuk menilai antara retorik dan munasabah.