Karnival berjaya tingkat kefahaman kepentingan statistik

Mohd Uzir (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada rakan-rakan strategik dan pempamer pada Majlis Penutup Karnival Statistik 2022 di ILSM di Sungkai pada Sabtu.
Mohd Uzir (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada rakan-rakan strategik dan pempamer pada Majlis Penutup Karnival Statistik 2022 di ILSM di Sungkai pada Sabtu.
A
A
A

SUNGKAI - Penganjuran Karnival Statistik sempena Sambutan Hari Statistik Negara (HSN) 2022 dan Sedekad Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) selama tiga hari di ILSM di sini mencapai sasaran.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, karnival yang bermula pada 20 Oktober lalu tersebut berjaya meningkatkan momentum kefahaman orang ramai terhadap kepentingan statistik.

Menurutnya, bersesuaian dengan tema Statistik Nadi Kehidupan, Jabatan Perangkaan Malaysia mahu sebarang keputusan yang dibuat mengikut statistik dikeluarkan.

"Orang ramai sudah sedar bahawa statistik ini adalah perkara yang dekat dengan mereka. Jadi dengan kita punya tema Statistik Nadi kehidupan, kita nak supaya orang ramai mengetahui bahawa ketidaktentuan itu dapat dikurangkan bila kita kaji statistik.

"Maknanya kita tahu kehidupan ini ada trend, jadi dengan itu kita boleh buat jangkaan bahkan peniaga dalam perusahaan kecil sederhana (PKS) sebagai contoh boleh menggunakan statistik untuk merancang perniagaan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Karnival Statistik 2022 di ILSM di sini pada Sabtu.

Mohd Uzir (depan, tengah) merakam kenangan bersama-sama warga Jabatan Perangkaan dan pihak yang terlibat.
Mohd Uzir (depan, tengah) merakam kenangan bersama-sama warga Jabatan Perangkaan dan pihak yang terlibat.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Ketua Perangkawan Program Ekonomi merangkap Pengerusi Hari Statistik Negara, Datin Seri Rozita Talha.

Mohd Uzir berkata, statistik memainkan peranan besar dalam menguruskan kehidupan serba mencabar ketika ini kerana tahap persaingan perlu lebih cepat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau memaklumkan, lebih 5,000 pengunjung hadir ke karnival berkenaan yang memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan maklumat mengenai statistik dan mengetahui peranan dimainkan Jabatan Perangkaan.

Menurutnya, selain itu terdapat pelbagai ruang pameran terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk usahawan yang terlibat mempromosikan produk masing-masing.

Mohd Uzir berkata, acara kemuncak karnival ialah Forum Perdana Ehwal Islam yang menampilkan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyaksikan forum berkenaan.

Jelasnya, pihak jabatan merakamkan penghargaan tinggi kepada semua yang terlibat menjayakan karnival berkenaan.