Jajaran Gunung Berantai kini Hutan Taman Negeri

Wan Rosdy ketika berucap pada majlis sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2022 peringkat Kebangsaan di Dewan Bandaraya Kuantan pada Sabtu.
Wan Rosdy ketika berucap pada majlis sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2022 peringkat Kebangsaan di Dewan Bandaraya Kuantan pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Pahang mewujudkan Hutan Taman Negeri ketiga melibatkan kawasan hutan di sekitar jajaran Gunung Berantai seluas 14,679 hektar sebagai usaha melestarikan alam sekitar di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jajaran itu meliputi Air Terjun Lubuk Kawah, Lubuk Yu dan Air Terjun Pelangi.

Menurutnya, ini antara usaha dilakukan oleh kerajaan Pahang bagi memastikan keindahan flora dan fauna di negara dan negeri ini terus terpelihara.

"Rancangan ini dilengkapkan dengan penubuhan Majlis Biodiversiti Pahang dan Perbadanan Taman Negeri Pahang.

"Kedua-dua entiti ini akan memikul mandat untuk memastikan aspek pemeliharaan biodiversiti dan pelancongan berasaskan khazanah alam berjalan dengan cara yang baik, selamat serta terancang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2022 peringkat kebangsaan di Dewan Bandaraya Kuantan di sini pada Sabtu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian sambutan HASN.

Majlis itu dihadiri Pemangku Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Panglima Raja, Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy ketika merumuskan tiga perkara penting dalam usaha Al-Sultan Abdullah dan anakanda Seri Paduka Baginda, Tengku Hassanal sentiasa mengingatkan agar mengamalkan tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) dalam usaha melestarikan alam sekitar di Pahang.

Tambahnya, kerajaan Pahang telah menambah keluasan kawasan berhutan di Pahang adalah seluas 2.04 juta hektar, yang mewakili 57 peratus keluasan negeri ini, iaitu 3.6 juta hektar.

Wan Rosdy menjelaskan, daripada keluasan 2.04 juta hektar ini, 1.6 juta hektar adalah Hutan Simpan Kekal dan 645,751 hektar atau 32 peratus lagi adalah Hutan Perlindungan yang tidak boleh disentuh dan diusik sama sekali, termasuklah untuk aktiviti komersial atau pembalakan.

"Kita turut mempunyai kawasan tadahan air yang luas, iaitu kira-kira 343,680 hektar.

"Dengan jumlah litupan Hutan Simpan Kekal, Hutan Perlindungan serta Hutan Tadahan Air yang sangat luas ini, Pahang sekali gus menjadi penyumbang terbesar kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia," ujar beliau.