PN perlu masukkan royalti minyak dalam manifesto

Nazri Deraman
Nazri Deraman
A
A
A

KOTA BHARU - Pertubuhan Royalti Kelantan (R) mahu Perikatan Nasional (PN) memasukkan pemberian royalti minyak kepada Kelantan dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

Presidennya, Nazri Deraman berkata, beliau tidak mahu isu tersebut terus dijadikan sebagai modal politik PRU oleh mana-mana pihak dengan tujuan untuk meraih undi.

"Pihak kami sentiasa bekerjasama dengan mana-mana pihak yang bersungguh-sungguh mahu menyelesaikan perkara ini.

"Pandangan kami, jika perkara ini (royalti) tiada dalam manifesto, bermaksud benda itu tidak jelas," katanya selepas diminta mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan Kelantan akan mendapat royalti minyak jika gabungan itu diberi mandat untuk mentadbir Malaysia selepas PRU15 nanti.

Beliau berkata, royalti minyak Kelantan merupakan antara isu penting yang perlu dibawa bersama dalam bentuk manifesto.

Katanya, hal ini kerana perjuangan royalti sebelum ini sudah ada namun tidak berjaya kepada beberapa faktor dan halangan.

Nazri berkata, Pas selaku kumpulan yang berada bersama dalam PN perlu menguruskan perkara itu dengan baik.

"Saya berharap semua parti di negeri ini dapat menyuarakan hal royalti sebagai tanda solidariti kepada Kelantan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin semasa menyampaikan ucapan pada Himpunan Penyatuan Ummah Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Jumaat berkata, bayaran sebanyak lima peratus itu akan diberikan kepada Kelantan seperti yang terkandung dalam perjanjian asal berkait dengan bayaran royalti.

Pada masa yang sama PN akan turut membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.