PN mahu menang semua kerusi Parlimen di Kelantan

Orang ramai yang hadir ke Himpunan Penyatuan Ummah & Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Kota Bharu pada Jumaat. - Foto Sinar Harian
Orang ramai yang hadir ke Himpunan Penyatuan Ummah & Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Kota Bharu pada Jumaat. - Foto Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) berhasrat untuk menang di kesemua 14 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, jentera perlu bekerja keras dan berpegang teguh kepada ajaran Islam untuk memastikan kemenangan dapat diraih.

“Fikirlah macam mana sekalipun, perlu menang kesemua 14 kerusi di Kelantan.

“Menang banyak kerusi negeri ini seterusnya Malaysia. Insya-ALLAH di peringkat nasional, PN akan menjadi kerajaan baharu selepas PRU15 nanti,” katanya pada Himpunan Penyatuan Ummah & Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di sini pada Jumaat.

Hadir sama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Mohd Amar juga memberi contoh, sebuah kerajaan yang dapat bertahan lama seperti kerajaan Pas di Kelantan kerana intergriti dan rekod bebas daripada rasuah.

“PN juga perlu kerja keras untuk buktikan terutama kepada UMNO bahawa beberapa pimpinan dalam parti itu sudah tidak relevan,” katanya.

Pada PRU lalu, Pas menyandang sembilan kerusi Parlimen, dua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala tiga BN.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Pas negeri itu berbangga dilabel sebagai parti ‘pak lebai’ oleh seorang pemimpin politik, dua hari lalu.

“Kalau dulu orang anggap Pas parti kampung, parti pak lebai. Sehari dua ini ada presiden sebuah parti sebut Pas sebagai parti pak lebai.

“Alhamdulillah bagi kami parti pak lebai bukan gelaran yang hina malah gelaran penyamun politik lebih hina daripada pak lebai,” katanya.

Dalam pada itu, program bertemakan Kelantan Maju, Rakyat Sejahtera itu diadakan di Stadium Sultan Muhamamd ke-IV bagi meraikan pentadbiran kerajaan Kelantan sejak tahun 1990.

Sambutan terhadap program begitu meriah dengan kehadiran lebih 1,000 hadirin walaupun dalam keadaan hujan lebat.