CSIC Huawei medan kecemerlangan ICT

Charles menunjukkan model Mesh Wifi dari Huawei.
Charles menunjukkan model Mesh Wifi dari Huawei.
A
A
A

HUAWEI Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) memaparkan teknologi serta penyelesaian terkini syarikat itu di Pusat Inovasi Penyelesaian Pelanggan Huawei (CSIC) dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hub digital di negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Pengurus Perhubungan Awam Huawei Malaysia, Charles Feng berkata, CSIC yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tahun lalu itu menjadi pusat bagi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kecemerlangan.

"Antara yang dipamerkan di CSIC adalah penyelesaian 5G Huawei seluruh dunia termasuk penyelesaian bagi bandar pintar dan kenderaan autonomi serta sistem Pendidikan Pintar Huawei.

"CSIC juga memaparkan peranti infrastruktur rangkaian yang menggunakan kemajuan teknologi terkini dalam 5G dan telekomunikasi serta RuralStar Huawei yang mengatasi cabaran teknikal dalam menghubungkan kawasan terpencil dengan komuniti sukar dijangkau," katanya dalam sesi bersama media pada Jumaat.

Charles menunjukkan model RuralStar Huawei menghubungkan kawasan terpencil dengan komuniti sukar dijangkau.
Charles menunjukkan model RuralStar Huawei menghubungkan kawasan terpencil dengan komuniti sukar dijangkau.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, pelanggan dan rakan kongsi Huawei boleh memanfaatkan platform inovatif di CSIC untuk mereka bentuk dan menguji penyelesaian teknologi, mengesahkan model perniagaan baharu serta mengaplikasi perkhidmatan inovasi yang ada.

Turut dipamerkan adalah sistem agroteknologi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menjimatkan masa, memantau kualiti serta meramalkan hasil termasuk pengeluaran kaviar premium di Malaysia menggunakan teknologi tersebut.

CSIC akan membawa pengalaman global untuk memenuhi keperluan industri ICT di Malaysia dan membantu pihak berkepentingan tempatan dalam menjayakan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

"Pusat ini akan bertindak sebagai pemangkin untuk mempercepatkan transformasi digital Malaysia dan memanfaatkan potensi teknologi termaju sekali gus membantu memacu pelaburan ekonomi digital," jelasnya.