Skim Inapan Kasih ZPP bantu 23 asnaf hidup lebih selesa

Amran (enam dari kanan) menyerahkan replika kunci kepada penerima bantuan Skim Inapan Kasih.
Amran (enam dari kanan) menyerahkan replika kunci kepada penerima bantuan Skim Inapan Kasih.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seramai 23 keluarga asnaf kini dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa selepas menerima bantuan menerusi Skim Inapan Kasih yang disediakan Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali berkata, Skim Inapan Kasih merupakan salah satu bantuan yang penting dalam skim agihan yang meliputi skim baik pulih rumah dan skim bina rumah bagi asnaf fakir dan miskin di Pulau Pinang.

Menurutnya, selain daripada mengagihkan dana bantuan zakat menerusi pelaksanaan projek bina rumah dan baik pulih rumah asnaf, ZPP juga menjalinkan kerjasama strategik bagi menjayakan hasrat pemilikan rumah yang kondusif kepada golongan asnaf yang memerlukan.

"Skim Inapan Kasih telah dijenamakan semula pada tahun 2021 daripada Skim Bina Rumah ZPP.

"Penjenamaan ini bukan sekadar retorik tetapi merombak semula model rumah Skim Inapan Kasih ZPP.

"Model rumah ini mengambil kira reka bentuk terkini, susun atur dalaman rumah yang kondusif serta keselesaan para penghuni yang mendiami Inapan Kasih dititikberatkan bagi menjamin kehidupan yang selesa dan sempurna kepada asnaf yang terpilih," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Menurutnya, kos binaan rumah Inapan Kasih terkini di antara RM67,200 hingga RM72,000.

Rumah Skim Inapan Kasih dibina berkeluasan 800 kaki persegi yang merangkumi tiga bilik tidur, bilik air dan tandas.
Rumah Skim Inapan Kasih dibina berkeluasan 800 kaki persegi yang merangkumi tiga bilik tidur, bilik air dan tandas.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, rumah yang dibina berkeluasan 800 kaki persegi merangkumi tiga bilik tidur, bilik air dan tandas yang kompetitif dari segi harga pasaran dan kondusif di dalam kategori rumah mampu milik yang disedia.

"Objektif utama bagi bantuan Skim Inapan Kasih ini ialah sebagai salah satu penyelesaian masalah miskin tegar di negeri Pulau Pinang dengan menyediakan kediaman baharu kepada asnaf fakir dan miskin.

"Oleh itu, Skim Inapan Kasih ini menggambarkan keterangkuman efisiensi bantuan agihan ZPP yang disalurkan bagi menjamin perkara-perkara dharuriyyat dalam kehidupan asnaf terutama asnaf fakir dan miskin di Pulau Pinang," katanya.

Dalam pada itu, Amran berkata untuk tahun ini, ZPP telah meluluskan sebanyak 58 buah rumah untuk dibaik pulih.

Katanya, sebahagian besar telah siap dan selebihnya dapat disiapkan sehingga hujung tahun ini yang menelan belanja keseluruhan sebanyak RM1.294 juta

Di samping itu, Amran berkata, jumlah rumah Skim Inapan Kasih yang telah siap dibina adalah sebanyak lima unit dan terdapat 15 unit lagi dalam proses pembinaan.

Kos keseluruhan pembinaan rumah Skim Inapan Kasih ini bagi tahun 2022 adalah berjumlah RM1.623 juta.