Pekerja perlu diberi cuti bergaji untuk mengundi: MEF

Majikan perlu memberi cuti bergaji kepada pekerja mereka yang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian PRU15. - Foto Bernama
Majikan perlu memberi cuti bergaji kepada pekerja mereka yang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian PRU15. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat atau majikan perlu memberi cuti bergaji kepada kalangan pekerja mereka yang telah mendaftar sebagai pengundi untuk menunaikan tanggungjawab itu pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, perkara itu terpakai kepada majikan yang menetapkan 19 November 2022 sebagai hari bekerja atau yang melaksanakan sistem giliran atau syif.

"Pekerja yang merupakan pemilih berdaftar dan dijadualkan bekerja pada sebelah siang bagi syif 12 jam hendaklah diberi masa yang munasabah untuk mereka mengundi pada hari pengundian 19 November 2022,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, bagi majikan yang menetapkan 19 November 2022 sebagai hari cuti atau hari rehat maka, pekerja yang merupakan pengundi berdaftar bebas melaksanakan hak mereka sebagai pemilih pada hari pengundian dan tidak ada keperluan untuk majikan memberikan hari rehat tambahan.