Pengurus hartanah mengaku tidak bersalah campak kucing

Kam Kin (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Jumaat bagi menghadapi pertuduhan mencampak seekor kucing hingga mati, Isnin lalu.
Kam Kin (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Jumaat bagi menghadapi pertuduhan mencampak seekor kucing hingga mati, Isnin lalu.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pengurus hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan mencampak seekor kucing dari tingkat 15 sebuah pangsapuri, Isnin lalu.

Cham Kam Kin, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat ke atas seekor kucing dengan mencampakkannya dari tingkat 15 hingga menyebabkan kematian haiwan itu di sebuah pangsapuri di Jalan PJS 8/9 di sini pada jam 7.30 malam, 17 Oktober lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Kailash Sharma merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menyara seorang anak berusia lapan tahun.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Zhafran Rahim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Januari 2023 untuk sebutan kes.

Pada Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki diberkas selepas didakwa mencampak seekor kucing dari tingkat 15 sebuah pangsapuri di Jalan PJS 8/9 di sini.

Artikel Berkaitan:

Tangkapan dibuat susulan laporan dibuat seorang individu pada malam hari kejadian.