Mat Sabu sedia ditendang ke Laut China Selatan

Mohamad ketika berucap dalam Konvensyen Harapan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Ipoh pada malam Khamis.
Mohamad ketika berucap dalam Konvensyen Harapan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Ipoh pada malam Khamis.
A
A
A

IPOH - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu meminta rakyat memberikan mandat sekali lagi kepada Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan dan sedia digulingkan sekiranya tidak menunjukkan pretasi yang baik.

Beliau berkata, peluang perlu diberikan sepanjang tempoh lima tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini untuk PH menunjukkan mereka mampu menjadi sebuah kerajaan yang baik.

"Saya yakin, kali ini PH akan mencapai kemenangan. Kita lihat kerajaan lima tahun apa yang kita akan buat.

"Jika baik, boleh sambung lima tahun lagi tugas kita, kalau tidak baik, tendang ke Laut China Selatan," katanya ketika berucap dalam Konvensyen Harapan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Ipoh pada malam Khamis.

Timbalan Pengerusi PH itu berkata, pentadbiran kerajaan pakatan itu mendukung sebuah negara yang bebas daripada amalan rasuah dan salah urus tadbir kerajaan.

Perkara itu dibuktikan apabila selama 22 bulan memerintah selepas PRU14 lalu, bagi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menurun daripada kedudukan 61 kepada 51.

"Itu ertinya rasuah berkurangan, tetapi naik Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan sekarang Ismail (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), tahap rasuah negara sudah setaraf negara-negara Afrika, mungkin tak lama lagi sampai ke Sri Lanka," katanya.

Dalam nada seloroh, beliau menitipkan pesanan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku calon Perdana Menteri PH supaya mencari harta sepencarian dan bukan harta 'sepencurian' yang dikaitkannya dengan amalan rasuah.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH kali ini Anwar bukan bakal-bakal lagi, betul jadi Perdana Menteri.

"Jadi saya hendak nasihatkan bakal Perdana Menteri (Anwar) dan isteri. Bila jadi Perdana Menteri nanti bersama Kak Wan (Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail), carilah harta sepencarian, jangan cari harta 'sepencurian'," katanya.

Ucapannya itu disambut dengan sorakan lebih 7,000 penyokong PH yang hadir.

Selain Anwar, turut hadir dalam konvensyen berkenaan, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, Ketua Setiausaha Sakretariat PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.