SPR perlu sediakan SOP PRU15 ketika banjir

Amira Aisyah
Amira Aisyah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam keadaan banjir.

Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisyah Abd Aziz berkata, SOP itu perlu segera disediakan sebagai panduan sekiranya PRU15 berlaku dalam keadaan banjir.

Pengarah Pilihan Raya Muda itu berkata, SPR langsung tidak menyentuh perkara tersebut semasa menetapkan tarikh dan perkara-perkara penting PRU15 yang diadakan di Putrajaya pada Khamis sedangkan perkara berkenaan penting.

"Kalau kita tengok sekarang ini pun banyak kawasan dah naik air. Muda sudah tentu akan berkempen habis-habisan tetapi jika berlaku banjir sewaktu hari pengundian, Muda akan fokus untuk bantu mangsa banjir.

"Saya gesa SPR untuk sediakan SOP secepat mungkin sebagai langkah menghadapi pilihan raya sewaktu musim banjir. Adakah pengundi diberi masa lebih untuk mengundi?

"Ataupun pihak SPR ada pelan jika Pusat Daerah Mengundi terlibat dengan banjir," soalnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

SPR pada Khamis mengumumkan hari pengundian PRU15 ditetapkan pada 19 November manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022.

Menurut SPR, seramai 21,173,638 pengundi pada PRU kali ini yang diadakan serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya dengan kos dianggarkan RM1.01 bilion.

Artikel Berkaitan:

Amira Aisya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa turut menggesa SPR untuk memudahkan proses pengundian bagi pelajar yang menetap di Sabah dan Sarawak.

Jelasnya, mereka sepatutnya diberi kelonggaran yang sama untuk mengundi melalui undi pos.

"Saya ikut rapat dengan pengumuman oleh SPR tengah hari tadi berkenaan tarikh-tarikh penting bagi PRU15 tetapi saya risau dengan persiapan SPR untuk menghadapi pilihan raya tersebut.

"Berkenaan sistem pengundian bagi golongan orang kurang upaya (OKU). Saya masih tidak nampak lagi inisiatif untuk memastikan golongan OKU dapat aksesibiliti untuk proses pengundian seperti menyediakan kertas undi dalam bentuk braille dan sebagainya," ujar beliau.