Tahap keselamatan tertinggi sepanjang GP Malaysia: Polis

 Imran Abd Rahman
Imran Abd Rahman
A
A
A

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan aspek keselamatan pada tahap tertinggi bagi memastikan kelancaran saingan perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang bermula Jumaat.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, sebanyak 650 anggota ditugaskan bagi memantau keselamatan pengunjung yang menyaksikan perlumbaan berprestij itu dengan 120 daripadanya dikhaskan bagi mengawal lalu lintas.

"Kita bagi penugasan penuh. (GP Malaysia) tidak bertindih dengan apa-apa acara lain. Jadi kita beri tumpuan sepenuhnya.

"Kita dapat bantuan daripada unit udara iaitu helikopter untuk kelancaran trafik selain bantuan daripada FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan).

"Jalan akan jadi sesak ada lebih kurang 60,000 (pengunjung) dan kita jangka dalam masa dua hingga tiga hari jumlah tiket terjual lebih banyak. Bagi kurangkan kesesakan jalan raya, kami nasihatkan boleh gunakan pengangkutan awam," katanya pada sidang media di Sepang pada Khamis.

Pada masa sama, beliau menasihati pengunjung yang memandu sendiri ke kawasan litar supaya meletakkan kenderaan di tempat disediakan dengan tiada sebarang bayaran dikenakan pihak SIC sepanjang tiga hari saingan.

Beliau berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas pengunjung yang memarkir kenderaan di bahu jalan.

"Kami minta kerjasama untuk kelancaran lalu lintas. Parkir kenderaan di tempat disediakan, parkir tahun ini percuma.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga ingin maklumkan kepada pengembara yang mahu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2, atur perjalanan lebih awal," katanya.

GP Malaysia yang kembali selepas dua tahun tidak dianjurkan susulan pandemik Covid-19 akan membuka tirai saingan dengan sesi ujian bebas pada Jumaat, diikuti sesi kelayakan (Sabtu) dan hari perlumbaan pada Ahad. - Bernama