'Kita tiada pilihan, Pas akur tarikh PRU15'

Takiyuddin Hassan. - Foto Bernama
Takiyuddin Hassan. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - "Kita tiada pilihan," kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang diumumkan pada 19 November ini.

Takiyuddin berkata, Pas akur dengan keputusan itu walaupun dalam kebimbangan masyarakat berdepan musim tengkujuh.

"Kita tiada pilihan kerana penetapan tarikh itu merupakan kuasa Eksekutif Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Karnival Go Digital di sini pada Khamis.

Menurutnya, mengikut undang-undang SPR boleh bermesyuarat dan menetapkan tarikh pilihan raya tidak kurang daripada empat hari selepas writ pilihan raya digazetkan.

Tambah beliau, jika berlaku banjir besar mungkin akan ada pengisytiharan darurat.

Takiyuddin (dua dari kiri) menyampaikan plakad pembayaran melalui digital kepada peniaga pada Majlis Pelancaran Karnival Go Digital pada Khamis.
Takiyuddin (dua dari kiri) menyampaikan plakad pembayaran melalui digital kepada peniaga pada Majlis Pelancaran Karnival Go Digital pada Khamis.

Dalam pada itu, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli memberitahu, Pas sudah menyenarai pendek calon PRU15 tetapi masih belum dimuktamadkan.

"Seperti biasa kita akan ada muka lama dan muka baru termasuk calon muda tetapi tidak dapat dimaklumkan lagi.

"Kita juga ada terima tawaran untuk bertanding di kerusi lain tetapi sekiranya tidak sesuai kita tidak akan terima," katanya.

SPR menetapkan hari penamaan calon PRU15 pada 5 November manakala pengundian awal 15 November dan hari mengundi 19 November depan.