Usaha beri kesedaran pentingnya miliki sijil halal Jakim

Hakimah (empat dari kiri) menyempurnakan simbolik perasmian Sehari Bersama Jakim disaksikan Hong Sing (empat dari kanan) di Auditorium Jakim, di Putrajaya pada Khamis.
Hakimah (empat dari kiri) menyempurnakan simbolik perasmian Sehari Bersama Jakim disaksikan Hong Sing (empat dari kanan) di Auditorium Jakim, di Putrajaya pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia) menyasarkan lebih ramai dalam kalangan usahawan terutamanya yang terlibat dalam sektor makanan memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Presiden SME Malaysia, Ding Hong Sing berkata, dengan adanya pensijilan itu ia secara tidak langsung menjadi nilai tambah kepada pengusaha mikro, kecil dan sederhana dalam memasarkan produk masing-masing.

Ini kerana katanya, usahawan yang memiliki pensijilan Halal Malaysia bukan sahaja menjadi pilihan pengguna Islam tetapi turut diyakini pengguna lain yang mementingkan kebersihan dan kesucian sesuatu produk khususnya makanan.

“Umum mengetahui pensijilan halal adalah penting terhadap sektor perniagaan di Malaysia dan antarabangsa. Tambahan pula, dengan pertumbuhan penduduk Islam di negara ini menjadikan potensi pasaran makanan halal sememangnya amat besar.

“Konsep halal bukan sahaja terhad kepada makanan itu sendiri tetapi ia juga merangkumi kosmetik, farmasi, perkhidmatan kewangan, perhotelan, perkilangan dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program Sehari Bersama Jakim 2022 yang akan diadakan di Auditorium Jakim, di sini, pada Khamis.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Mengulas mengenai program Sehari Bersama Jakim itu, Hong Sing berkata, melalui acara sedemikian ia berupaya meningkatkan dan memberi kesedaran industri halal terhadap perusahaan kecil dan sederhana.

Selain itu katanya, langkah yang diambil ini juga berupaya membantu pasaran tempatan untuk mendapatkan lebih kesedaran tentang halal dan melihat inovasi produk yang patuh syariah.

Artikel Berkaitan:

“Kita yakin, melalui program yang diadakan ini dapat menjana pertumbuhan dan pembangunan semua sektor untuk membawa ekonomi halal yang belum diterokai dengan lebih ke hadapan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden SME Malaysia, Lai Yaeh Tat berkata, program Sehari Bersama Jakim adalah platform terbaik untuk semua usahawan untuk memahami dengan lebih jelas proses untuk mendapatkan pensijilan halal daripada Jakim.

“Selama ini ramai dalam kalangan usahawan terutamanya mikro dan sederhana beranggapan proses untuk mendapatkan pensijilan halal merupakan perkara yang rumit dan sukar kerana mereka tidak ada pemahaman tentang itu.

“Namun menerusi program yang diadakan ini, usahawan diberikan kefahaman dan kesedaran yang betul mengenai proses untuk membolehkan seseorang memperoleh sijil pengesahan halal,” katanya.

Justeru katanya, melalui program ini, ia dapat membantu seramai mungkin usahawan untuk mendapatkan sijil tersebut dalam usaha untuk meningkatkan pasaran produk mereka nanti.

Dalam pada itu, hampir 500 peserta yang terdiri daripada usahawan kecil dan sederhana serta 20 reruai daripada pelbagai agensi mengambil bahagian dalam program anjuran Jakim dengan kerjasama SME Malaysia tersebut.

Program Sehari Bersama Jakim turut melibatkan beberapa pengisian penting termasuk seminar daripada pihak berkuasa berwibawa pensijilan halal Malaysia berkenaan kepentingan Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan keperluan-keperluan terkini, Klinik Halal Malaysia dan Pameran Halal Malaysia.

Turut diadakan ialah perkongsian maklumat bersama agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan agensi terlibat dalam membangun rantaian E-Bekalan Digital, kesedaran halal kepada pengguna dan pendedahan halal kepada pelajar.

Program itu juga mengadakan pertandingan kulinari bagi produk makanan halal antara pelajar untuk menyuntik kesedaran halal, jualan secara kendera saji dengan kerjasama SME Mobile Truck Association Malaysia dan Islamic Fashion Presentation.