Kes baling pisau: Adik beradik harapan keluarga, taat agama

Gambar tular lokasi kejadian remaja lelaki maut tertusuk pisau dibaling kakaknya dalam kejadian di Ulu Pulai.
Gambar tular lokasi kejadian remaja lelaki maut tertusuk pisau dibaling kakaknya dalam kejadian di Ulu Pulai.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Dua beradik yang terbabit dalam insiden menyayat hati di Kampung Ulu Pulai di sini mempunyai hubungan yang cukup baik selain amat menghormati ibu bapa dan bijak dalam pelajaran.

Ahli keluarga mangsa yang enggan didedahkan namanya berkata, seluruh ahli keluarga masih lagi terkejut dengan kejadian yang berlaku pada tengah hari Rabu.

Katanya, kakak mangsa dan adiknya masing-masing berusia 18 dan 16 tahun merupakan anak sulung dan anak kedua daripada lima beradik.

"Kedua-duanya anak yang baik dan sangat bijak kerana sering mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan, selain menjadi harapan keluarga.

"Mereka juga diberikan didikan agama cukup baik dan menjaga solat lima waktu. Mangsa berusia 16 tahun pernah belajar di Maahad Pontian sebelum berpindah ke sebuah sekolah menengah di Iskandar Puteri.

"Sementara kakaknya pula merupakan pelajar di Tingkatan Enam. Mereka berdua serta tiga lagi adik, adalah anak yang sangat baik dan dididik untuk saling berkasih sayang," katanya ketika ditemui pada Khamis.

Jelasnya, ibu bapa mangsa masih trauma dan amat tertekan dengan insiden yang berlaku itu.

"Mereka amat sedih, apatah lagi insiden tragis itu tular sejak malam Rabu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan dilakukan di rumah keluarga mangsa di Kampung Ulu Pulai mendapati, sanak saudara dan penduduk kampung berada di situ bagi menziarahi keluarga itu.

Bagaimanapun, anggota keluarga rapat enggan ditemubual dan memohon media memberi ruang untuk keluarga berkenaan bertenang.

Sebelum itu pada malam Rabu, media melaporkan seorang remaja lelaki maut dipercayai tertusuk pisau dibaling kakaknya dalam kejadian di Ulu Pulai.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 2.15 petang.

Hasil siasatan mendapati, kejadian berpunca daripada pergaduhan adik-beradik dan ibu mangsa mendakwa mangsa bergaduh dengan kakaknya berikutan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

Kakak mangsa dilaporkan, mengaku membaling pisau ke arah mangsa selepas dipersenda ketika sedang masuk ke dalam rumah.

Sementara itu Mahkamah Majistret Johor Bahru, suspek direman enam hari mulai Khamis hingga 25 Oktober depan bagi membantu siasatan kes membaling pisau dan mengenai adik lelakinya sehingga maut di Kampung Ulu Pulai pada Rabu.