Memperkasa industri sukan negara

Ahmad Faizal - Foto Bernama
Ahmad Faizal - Foto Bernama
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan dakwaan peruntukan kerajaan terhadap bidang sukan negara tidak membawa sebarang hasil adalah satu pemahaman yang lapuk.

Ini kerana kata beliau, Jabatan Perangkaan (DOSM) menganggarkan nilai industri sukan tempatan mencecah RM18.8 bilion pada tahun 2017.

Tambah beliau, data itu juga menunjukkan RM845 juta nilai jualan barang sukan dan rekreasi telah direkodkan di antara tahun 2018 dan 2021.

“Justeru dakwaan bahawa setiap peruntukan kerajaan terhadap sukan tidak membawa hasil ternyata adalah satu pemahaman yang lapuk.

“Hal ini kerana setiap ringgit yang dibelanjakan dapat memberi pulangan berlipat ganda, bukan sahaja daripada segi kesihatan tetapi membuahkan hasil terhadap ekonomi yang kemudian akan menguntungkan kerajaan di masa depan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Ahmad Faizal, pasaran sukan global dianggarkan bernilai AS$440.77 bilion (RM2 trilion) pada tahun 2021 dan berdasarkan laporan Global Sport Market, nilai itu dijangka terus meningkat sehingga mencecah AS$600 bilion (RM2.8 trilion) pada tahun 2025.

“Sebagai perbandingan, pasaran global minyak sawit dianggarkan pada AS$60 bilion (RM283 bilion) tahun lalu sekali gus memberi gambaran betapa begitu besar sukan sebagai salah satu cabang perniagaan,” katanya.

Sehubungan itu menurut Ahmad Faizal, bagi mengelak sebarang ketirisan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah membangunkan Akaun Satelit Sukan untuk dijadikan sebagai kayu ukur kepada setiap ringgit yang dibelanjakan atau diterima.

Artikel Berkaitan:

“Menerusi langkah ini, ia dapat membuktikan kepada Kementerian Kewangan (MoF) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) bahawa setiap peruntukan yang dibelanjakan oleh KBS bukan sekadar transaksi satu hala.

“Malah, dilihat sebagai satu pelaburan yang secara langsung dapat menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau pertumbuhan sosioekonomi,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan itu adalah salah satu teras kepada Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur 2022 (EISKL 2022) yang dianjurkan pada awal Oktober lalu.

Katanya, tujuan ekspo itu adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai hab rantau teknologi dan perdagangan sukan yang akhirnya dapat membantu meningkatkan nilai jualan perniagaan berkaitan sukan.

“Saya berharap ekspo yang dianjurkan ini dapat menarik lebih ramai pengunjung dan pemegang taruh setiap tahun.

“Industri sukan juga mempunyai reputasi sebagai satu industri yang lebih kepada makro ekonomi dengan pendekatan secara top-down.

“Maka, tidak mustahil pendekatan seperti ini dapat dilaksanakan di Malaysia dengan sedikit pendekatan berbeza dapat dilakukan,” katanya.

Ahmad Faizal juga menunjukkan rasa kagum dengan industri Liga Kecil (Little League) di Amerika Syarikat (AS).

Time Magazine telah menganggarkan program sukan kanak-kanak ini bernilai mencecah AS$15 bilion pada tahun 2017.

“Jika dilihat pada jumlah populasi, sudah tentu Liga Kecil di AS memiliki banyak kelebihan tetapi prinsipnya masih sama iaitu pemegang taruh terdiri daripada ibu bapa, komuniti tempatan dan budaya sukan yang ampuh,” ujarnya.

Justeru beliau berkata, KBS telah menubuhkan Malaysia Sports League (MSL) dan program Liga Kecil dengan fokus terarah kepada beberapa jenis sukan seperti futsal, badminton, sepak takraw, bola jaring dan bola keranjang.

Tambahnya, setakat ini lebih 200,000 belia berumur tujuh tahun dan ke atas telah menyertai inisiatif ini.

“Jika program ini dianjurkan setiap hujung minggu di seluruh negara, ia dapat memberi faedah kesihatan dan ekonomi yang amat besar.

“Ia bukan sahaja meliputi kawasan bandar kerana liga sukan persendirian dan kelas sukan adalah satu kebiasaan dalam masyarakat, tetapi penganjuran mesti melibatkan kawasan separa dan luar bandar meliputi setiap daerah atau kampung yang akan bersukan secara berterusan sepanjang tahun,” katanya.

Menurut Ahmad Faizal, berdasarkan makluman daripada kalangan akar umbi untuk program-program seperti ini amat memberangsangkan terutama apabila negara beralih kepada fasa endemik Covid-19.

Katanya, jika jumlah peserta bagi program itu dapat ditingkatkan setiap tahun, maka kesan limpahan terhadap ekonomi dapat dinilai melalui Akaun Satelit dan ia boleh dimanfaatkan oleh pentadbiran akan datang sekali gus membuktikan belia dan sukan adalah satu pelaburan bijak oleh kerajaan.

“Keuntungan dan pulangan pastinya adalah satu bonus namun, nilai utama dalam industri sukan yang dinamik adalah kemampuan untuk membina budaya sukan yang dapat memberi manfaat kepada setiap lapisan masyarakat.

“Besar harapan saya jika inisiatif ini dapat diteruskan oleh Kerajaan di masa hadapan dan usaha untuk membentuk satu industri sukan yang komprehensif sentiasa menjadi tumpuan utama dalam pembentukan polisi nasional,” katanya.