Saman pemula Charles wajar ditolak

 Charles
Charles
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Peguam Persekutuan menghujahkan di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa, saman pemula oleh penyandang kerusi Parlimen Klang berhubung pembubaran Parlimen, wajar ditolak selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian pada 19 November depan.

Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin berkata demikian ketika prosiding pendengaran permohonan untuk membatalkan saman pemula oleh Charles Santiago di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Untuk rekod, SPR telah menetapkan 19 November depan sebagai Hari Pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) N66 Bugaya.

Menerusi sidang akhbar di ibu pejabat SPR pada Khamis, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut mengumumkan tarikh penamaan calon pada 5 November manakala pengundian awal, 15 November ini.

Zulkefli yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan Malaysia dan SPR masing-masing selaku defendan pertama hingga ke ketiga berkata, penetapan tarikh PRU15 menyebabkan saman pemula itu bersifat akademik.

Semasa prosiding, Zulkefli yang juga bekas Presiden Mahkamah Rayuan di Putrajaya berkata, saman pemula itu perlu ditolak kerana kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam membuat pengisytiharan pembubaran Parlimen ke-14, tidak boleh diadili atau dipertikaikan oleh mahkamah.

Maka katanya, kuasa membubarkan Parlimen adalah kuasa prerogatif Agong iaitu menggunakan budi bicara untuk membubarkan Parlimen tanpa nasihat jemaah menteri.

Menurut Zulkefli, isu keabsahan permintaan pembubaran Parlimen oleh defendan pertama bersifat akademik kerana Baginda telah memperkenankan permintaannya seterusnya membubarkan Parlimen ke-14.

Artikel Berkaitan:

“Pengisytiharan dan pembubaran parlimen merupakan kuasa Agong bawah Perlembagaan Persekutuan yang mana badan kehakiman selaku penjaga keadilan perlu memelihara prinsip Berperlembagaan ini.

“Oleh itu, permohonan plaintif bersifat akademik kerana pembubaran Parlimen telah dilaksanakan dan telah digazetkan,” katanya.

Walaupun terdapat isu lain yang dibangkitkan oleh plaintif, namun beliau berkata, intipati perkara itu kekal sebagai subjek yang tidak boleh dijustifikasikan.

Menurutnya, kuasa prerogatif untuk membubarkan parlimen terletak pada Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub bawah Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Perkara 55 Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan jelas memberi kuasa kepada Baginda untuk membubarkan Parlimen.

Bagaimanapun, Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Charles membantah perkara itu dengan menghujahkan bahawa, saman pemula ini tidak bersifat akademik kerana PRU belum dijalankan.

“SPR hanya mengumumkan tarikh itu pada Khamis, dengan penamaan calon pada 5 November manakala PRU pada 19 November.

“Hanya jika PRU telah dijalankan, ia mungkin mempunyai asas untuk mengatakan ia adalah akademik,” katanya.

Selain itu beliau berkata, peranan kabinet dalam memutuskan sama ada Agong perlu dinasihatkan untuk membubarkan Parlimen, tidak boleh diperkecilkan.

Terutama katanya, menyentuh isu banjir yang mungkin berlaku seawal September ini, biarpun perubahan monsun telah diramalkan bermula pada November dan Disember depan.

“Bencana pada Disember tahun lepas menyebabkan malapetaka membabitkan lapan negeri di Semenanjung Negara.

“Ketika itu, banjir besar melanda menyebabkan kira-kira 54 kematian dan kira-kira 117,000 orang kehilangan tempat tinggal, selain menyebabkan kerugian RM6.1 bilion,” katanya.

Menurutnya, melihat kepada itu, kewujudan kabinet sangat kritikal demi mencapai satu keputusan penting sekiranya timbul sebarang isu.

Meskipun kerajaan sementara bertindak selepas pembubaran, namun beliau berkata, ia tidak boleh membuat keputusan dasar yang penting.

Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, Ahmad Kamal menetapkan 28 Oktober depan untuk keputusan permohonan ini menerusi prosiding dalam talian.