Media sosial bukan lubuk fitnah

No Image Caption
A
A
A

HARI ini teka-teki tarikh penting yang bakal dipilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan terjawab.

Dahulu tarikh permulaan kempen pilihan raya pasti saat yang paling ditunggu kerana semua parti akan mula bekerja keras untuk berkempen termasuk mengadakan ceramah mendekati pengundi.

Bagaimanapun, seiring dengan perkembangan semasa, media sosial mula mengambil alih strategi untuk meraih sokongan pengundi.

Walaupun kempen rasmi untuk PRU15 belum bermula, namun media sosial sudah mula sarat dengan kempen-kempen politik sama ada daripada parti pembangkang mahupun parti kerajaan.

Platform media sosial seperti TikTok dijangka menjadi medium utama penyebaran maklumat dan kempen setiap parti yang bertanding.

Ini kerana TikTok dilihat mempunyai elemen interaktif yang mudah dan cepat, malah penggunaannya melangkaui semua lapisan masyarakat.

Jika diimbas kembali pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) dilihat lebih agresif dan mendominasi kempen-kempen melalui media sosial, malah ia dikatakan antara penyebab utama kekalahan Barisan Nasional (BN) ketika itu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah mengakui kelemahan jenteranya menguasai media sosial menjadi punca kekalahan parti tersebut pada PRU14.

Artikel Berkaitan:

Jadi, tidak hairanlah sejak pertengahan 2022 lagi, semua parti politik telah mula memukul gendang melancarkan perang media sosial dan meningkatkan populariti parti masing-masing semata-mata untuk menawan hati pengundi, sekali gus memenangkan parti.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, media sosial penting bagi memenangi hati pengundi seramai mungkin terutama pengundi muda kerana jumlah golongan berkenaan meningkat lebih tujuh juta pada PRU15.

Beliau berkata, pemimpin dan parti politik harus mendekati kesemua kelompok pengundi kerana alam maya menjadi platform paling mudah buat mereka. Segala maklumat dan informasi dapat disampaikan dengan cepat, malah tiada sebarang peraturan yang melarang parti politik berkempen awal.

Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr Jeniri Amir pula berkata, pemimpin politik perlu mengakui hakikat bahawa dalam konteks demokrasi digital, media baharu merupakan alat penting yang digunakan untuk memenangi hati dan mencorakkan persepsi pengundi.

Bagaimanapun, beliau mengakui media baharu memberi peluang kepada pihak tertentu menyebarkan propaganda hitam termasuk fitnah dan berita tidak benar untuk menjatuhkan pihak lain kerana penggunaannya yang tiada sempadan.

Dalam pada itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Ismail Sualman berkata, pihak yang diserang secara maya perlu menangkis dakwaan tersebut secepat mungkin bagi memastikan rakyat tidak terpengaruh.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN pada 17 September lalu turut menggesa pemimpin parti itu termasuk Pemuda BN untuk menguasai peperangan secara maya dan menjawab segala tuduhan serta serangan pihak pembangkang kepada BN dan kerajaan yang dilemparkan di media sosial.

Walaupun semua parti politik semakin ghairah menghasilkan kempen-kempen media sosial, janganlah terlampau taksub untuk berkempen sehingga fitnah diangkat mendasari kempen pada PRU15.

Biarlah parti politik dan wakil rakyat benar-benar layak diangkat menjadi pemimpin negara, bukannya mereka yang hanya pandai bercakap di media sosial tetapi gagal dalam pentadbiran negara.

Sebagai pengundi, didiklah diri supaya lebih bersifat rasional, praktikal dan bijak menilai segala informasi yang lalu-lalang di media sosial kita. Jangan kerana fitnah politik, masa depan negara tergadai.

* Munirah Abdul Aziz ialah Penolong Penerbit Berita, Sinar Harian