‘Menjadi kewajipan akhbar maklumkan kepada orang ramai’

(Kiri) Farrah Naz. Laporan Sinar Harian pada Selasa.
(Kiri) Farrah Naz. Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Laporan terperinci mengenai operasi ejen perisikan Israel (Mossad) untuk menculik rakyat Palestin di Malaysia adalah sebahagian daripada kewajipan tugas kewartawanan penyiasatan meskipun ia menimbulkan rasa tidak senang.

Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim yang menghasilkan siri pendedahan itu berkata, bahawa sesinya bersama dengan polis awal hari ini telah berjalan dengan baik.

“Pegawai polis yang ditugaskan untuk mengambil keterangan saya, bertindak secara profesional sepanjang sesi empat jam itu.

“Saya berpendirian bahawa adalah menjadi tanggungjawab media untuk memaklumkan kepada orang ramai,” katanya kepada Sinar Daily pada Rabu.

Ujar Farrah Naz, polis bimbang tentang bagaimana NST berjaya mendapatkan maklumat terperinci tentang plot penculikan itu.

"Kami bersumpah untuk melaksanakan tugas kami tanpa rasa takut atau pilih kasih dan inilah yang sebenarnya berlaku dalam siri pendedahan yang diterbitkan," jelas beliau.

Farrah Naz telah dipanggil polis pada jam 9.45 malam (Selasa), yang memaklumkan padanya untuk hadir ke ibu pejabat polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada hari ini jam 1 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

Akhbar bahasa Inggeris itu telah mendedahkan bagaimana operasi Mossad untuk menculik dua rakyat Palestin yang berlaku di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur pada 28 September tahun ini.

Ia mendedahkan bahawa sekumpulan penduduk tempatan termasuk seorang wanita telah bertindak sebagai ejen Israel untuk menculik dua rakyat Palestin yang bernilai tinggi serta dikatakan mempunyai kaitan dengan Hamas yang berpangkalan di negara ini.

Bagaimanapun, keadaan menjadi buruk apabila mereka hanya menawan seorang rakyat Palestin manakala seorang lagi berjaya melarikan diri dan segera membuat laporan polis.

Susulan itu, tindakan pantas pihak polis menyerbu sebuah chalet di Hulu Langat, Selangor itu membawa kepada satu proses soal siasat yang dilakukan seorang lelaki Israel menerusi panggilan video.

Warga Palestin yang diculik itu ditemui terikat pada kerusi dan dipukul dengan teruk.